Malaysia Dateline

COVID-19: Tiada kematian, 55 kes baharu, 7 kes import

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 71 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Sehingga 4 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 55 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,353 kes.

Dimaklumkan bahawa daripada 55 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 7 kes adalah kes import.

Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 48 kes, di mana sebanyak 24 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Seramai 28 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) daripada jumlah tersebut, 13 kes
memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 105 kes (1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KKM juga menyeru semua rakyat Malaysia dan juga bukan warganegara Malaysia yang berada di negara ini untuk memuat turun aplikasi MySejahtera, serta melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan COVID- 19 melalui aplikasi ini.

Aplikasi ini membolehkan Kerajaan menjalankan pengesanan kontak (contact tracing) kepada individu yang disahkan positif COVID-19. MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera.

Pengesanan kontak (contact tracing) adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenalpasti positif COVID-19.

MyTrace tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi pengguna, sebaliknya merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain.