Malaysia Dateline

Covid-19: Tiada kematian direkodkan, jumlah kes baharu 38

Malaysia merekodkan tiada kematian akibat Covid-19 hari ini dalam tempoh 24 jam sehingga tegah hari, manakala kes baharu yang direkodkan adalah sebanyak 38 untuk tempoh yang sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ia merupakan rekod jumlah kes baharu terendah untuk minggu ini selepas 36 kes direkodkan Isnin lalu.

Jelas Dr Noor Hisham, jumlah kes yang telah sembuh dan telah dibenarkan pulang adalah sebanyak 100 kes dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh kepada 3,862 atau 68.8 peratus daripada 5,780 kes mereka yang dijangkiti Covid-19.

Katanya lagi, berdasarkan angka tersebut, jumlah keseluruhan kes yang masih aktif jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,820 kes, dan mereka semuanya sedang dirawat dan diasingkan.

“Daripada jumlah keseluruhan kes yang aktif, 36 pesakit dirawat di unit kawalan rapi (ICU) di seluruh negara dan 15 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.