Malaysia Dateline

Covid-19: Tiada keserasian antara kerajaan Selangor dengan Pusat?

Kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hanya berkongsi data yang diproses dan bukannya ‘data mentah’ dengan jabatan kesihatan negeri sebagai tujuan penyelarasan yang lebih baik menimbulkan pertanyaan adakah wujudnya ketidakserasian antara kerajaan negeri dan pusat.

Sebelum inipun timbul isu yang dikesali mengapa kerajaan negeri di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disisihkan dalam perbincangan hal keselamatan, dan kesejahteraan negara?

Selain Selangor, kerajaan negeri PH ialah Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan. Apakah alasannya sehingga mengecualikannya?

Berbalik kepada isu Selangor dengan kerajaan PH pusat, adakah KKM berkongsi data mentah dengan kerajaan negeri? Adakah dibenarkan dalam situasi begini?

Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19 (STFC) mengatakan usaha mereka untuk memerangi wabak di negeri berkenaan terjejas kerana belum menerima data terperinci daripada kementerian sejak awal Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ibu pejabat KKM tidak dapat memenuhi permintaan STFC untuk memperoleh data asal bagi memastikan interpretasi data diseragamkan.

Perkongsian data mentah antara kerajaan persekutuan dan negeri memang wujud apabila Pengerusi STFC Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa keputusan untuk menghentikan perkongsian data di saat kes di Selangor meningkat amat menjejaskan usaha kerajaan negeri.

Situsi yang kelihatan tidak ditenteram ini menyebabkan beliau berkata Kerajaan Selangor pada masa ini “bertarung sambil mata tertutup” dalam responsnya terhadap Covid-19 selepas Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa tidak lagi berkongsi data penting berkenaan kes positif.

Difahamkan sejak minggu pertama Oktober, Pasukan STFC tidak lagi menerima data granular daripada KKM, justeru menjejaskan usahanya untuk membendung penularan.

Jika sebelum ini wujudnya perkongsian data mentah atau granular antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri, apa yang menyebabkan ia tidak dikongsikan lagi sehingga Dr Noor Hisham membuat kenyataan bahawa data yang diproses sahaja yang dikongsi dan bukannya ‘data mentah’ dengan jabatan kesihatan negeri sebagai tujuan penyelarasan yang lebih baik.

Dr Noor Hishan menambah “Jadi perkara terburuk yang boleh terjadi adalah (jika) pengumuman telah dibuat menggunakan data kita tetapi kita tidak tahu apa pengumuman itu. Oleh itu, saya berpendapat bahawa (ini mengenai) penyelarasan.

“(Lebih baik) jika kita dapat selaraskan dengan lebih baik antara pengarah kesihatan persekutuan dan negeri; dan pengarah kesihatan negeri selaraskan dengan pentadbiran negeri,” katanya.

Adakah perubahan ini disebabkan oleh kerajaan negeri mempersoalkan keputusan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas Lembah Klang yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub?

Dalam sidang khas tersebut MKN telah memutuskan PKPB dikenakan semula ke atas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

Menurut Ismail Sabri, PKPB itu terpaksa dilaksanakan susulan nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan dan penularan kes, seperti di Klang di Petaling dan Gombak serta daerah-daerah lain.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam,14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,” katanya.

Keputusan kerajaan persekutuan melahirkan sesuatu kejutan kepada kerajaan negeri Selangor. Menteri Besar Amirudin Shari berkata pihaknya terkejut dengan keputusan untuk mengenakan semula PKPB di negeri itu.

Menurutnya hanya beberapa daerah di Lembah Klang yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang membimbangkan.

Secara konsensusnya kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan-cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan.

Kenyataan-kenyataan Dr Dzulkefly ternyata membantah keputusan yang dibuat keputusan yang dibuat kerajaan pusat.

Sebelum semasa keputusan MKN berhubungan itu tidak dipersertujui kerjaan negeri dan dapat diperhatikan dengan kenyataan Dr Dzulkefly yang mengesahkan berkenaan cadangan PKPD di Petaling Jaya Utara dan menyuarakan kekecewaan dengan keputusan kerajaan.

Keadaan ini pernah berlaku berikutan terdapat beberapa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak mematuhi kelonggaran perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada Mei lepas.

PKPB, yang dikuatkuasa tidak diterima baik oleh beberapa kerajaan negeri setelah kerajaan persekutuan mengumumkan pelbagai rancangan berhubung kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, hingga menimbulkan kekeliruan kepada perniagaan dan orang ramai di negeri yang berkenaan.

Pada masa itu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak enggan mematuhi PKPB, dengan membuat keputusan untuk terus mengekalkan PKP4 yang akan berakhir 12 Mei.

Bagaimanapun, Kedah dan Kelantan terpaksa bersetuju untuk melaksanakan PKPB dengan serta merta seiring dengan keputusan yang dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Dalam hal ini, bolehkah negeri-negeri berkenaan tidak mematuhi PKPB Kerajaan Persekutuan dan mengeluarkan arahan mereka sendiri untuk disesuaikan dengan keutamaan negeri masing-masing?

Menurut beberapa pakar perundangan, kerajaan negeri tidak boleh menolak untuk mematuhi penguatkuasaan PKPB atau fasa kelima PKP yang diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan, memandangkan PKP4 kini batal dan tidak sah.

Seorang peguam terkemuka, N Sivananthan berpendapat, kerajaan negeri tidak boleh menolak untuk mematuhi PKPB yang telah diwarta untuk dilaksanakan mulai 4 Mei hingga 12 Mei lepas kerana ia menggantikan peruntukan bagi PKP4.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa yang sah untuk menolak bagi pematuhan PKPB seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Adakah kerana kerajaan negeri pembangkang yang membantah kerajaan pusat maka hukuman telah dijatuhkan dalam isu penyelarasan yang diproses itu?

Mungkin ada rasional dengan keputusan Dr Nor Hisham tetapi dirasakan ia tidak dipisahkan untuk menjadi keputusan politik juga, di mana memberikan hukuman kepada kerajaan negeri yang engkar kepada pusat. Kerajaan pusat telah menghentikan pemberian bantuan data mentah kepada kerajaan negeri.

Namun dalam situasi ini kerjasama antara kerajaan negeri dengan pusat perlu diselaraskan dan keprihatinan kerajaan negeri mengenai perkara yang berkaitan dengan kesihatan awam dan pengawalan penyakit amatlah dihargai.

Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, kerajaan negeri menerusi majlis tempatan, mempunyai beberapa kuasa untuk mengawal dan menguatkuasakan kuarantin mengikut mana yang berkenaan.

Contohnya, apa yang dapat daripada keprihatinan majlis kerajaan tempatan yang mengambil inisiatif untuk mengawal dan menguatkuasa undang-undang bagi membendung penularan denggi.

Persoalannya sekarang ialah sama ada terdapat konflik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan atau adakah ia berkaitan dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan perlaksaan PKPB ke seluruh daerah Selangor.

Namun jika wujud konflik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keputusan eksekutif Kerajaan Persekutuan mengatasi dan perlu dipatuhi.

Adakah Kerajaan Negeri mengingkari PKPB atau kerajaan negeri merasakan PKPD mengikut daerah adalah diutamakan dahulu dengan kesan melalui perincian tambahan melibatan keselamatan dan langkah pencegahan.

Namun Kerajaan negeri sudahpun akur apabila keputuskan untuk menggunapakai keseluruhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang pelaksanaan PKPB.

Menteri Besar berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan PKPB yang diadakan hari ini membabitkan semua Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pegawai daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan MKN Selangor.

“Selepas meneliti pandangan semua pihak, kerajaan negeri memutuskan untuk mengguna pakai keseluruhan SOP seperti yang digariskan oleh MKN di seluruh Selangor, termasuk di Mukim Klang bagi tujuan pelaksanaan PKPB bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Kerajaan pusat tidak perlu bersifat drakoian dalam isu membabit kepentingan bersama walaupun ia adalah kerajaan negeri pembangkang. Cadangan ke arah pembaikan PKPB amatlah dialu-alukan dengan hasrat dan tujuan mengutamakan kesihatan rakyat.

Situasi sekarang dengan catatan kes semasa atikel itu ditulis adaalah Selangor mencatatkan kes sebanyak 107 komitmen dalam kerjasama antara kedua-dua pihak.
Selagi ia tidak bercanggah dengan semangat PKPB, maka adalah sah untuk kerajaan negeri berbuat demikian mencadangkan sesuatu untuk kemanfaatan bersama.

Dirasakan perlu diadakan perbincangan menyeluruh antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana kedua-dua pihak berhak melontarkan pendapat dalam isu yang membabitkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit. Komunikasi berbilang amat diperlukan mengelakkan sebarang spekulasi dibuat rakyat apabila berlaku ketidakselarasan dalam tindakan dan pandangan.
———————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komuikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran Universiti Selangopr (Unisel).