Malaysia Dateline

Covid-19 tidak halang Faiz teruskan agenda peduli rakyat dalam norma baharu

Antara warga emas di DUN Permatang Pasir yang diziarahi Faiz.

Penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang usaha Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil bagi meneruskan agenda peduli rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu meneruskan kesinambungan membantu mereka yang memerlukan dengan menyantuni masyarakat Cina di Kampung Sama Gagah.

Peguam berkenaan turut meninjau kerja-kerja pembaikan rumah penduduk yang miskin dan asnaf.

Malah, ziarah peduli rakyat juga dilaksanakan dengan menziarahi beberapa keluarga yang uzur di Kampung Permatang Pasir, Pengkalan Tambang, Permatang Pauh, Permatang Tengah dan Bukit Indera Muda.

“Melalui program turun padang dan ziarah peduli rakyat ini kita dapat bertanya khabar dan melihat sendiri kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dalam usaha mengangkat keadilan sosial.

“Antara kepedulian yang diberi perhatian ialah turut menjenguk dan menziarahi beberapa orang penduduk yang memerlukan serta uzur di kawasan Kampung Permatang Rawa, Kampung Paya, Cross Street, Tanah Liat, Sungai Semambu, Kubang Semang, Kampung Pelet dan Kampung Petani,” katanya.

Faiz menyifatkan agenda peduli rakyat ketika Covid-19 menular membantu mengatasi kesukaran hidup rakyat yang melangkaui perbezaan kaum bagi merealisasikan agenda Rahmatan Lil Alamin.

Tambahnya, sumbangan berupa barangan keperluan dapur serta lampin pakai buang antara yang diagihkan dengan kerjasama Mutiara Food Bank dan MPKK.

Faiz menyantuni rakyat dengan masih mematuhi SOP mencegah jangkitan Covid-19.