Covid-19 tidak mampu diberi tumpuan tanpa keabsahan PM

Oleh ARIF ATAN

Selagi Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tiada keabsahan sebagai Perdana Menteri, fokus terhadap usaha menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara akibat Covid-19 sukar diberi keutamaan.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihak yang kerap mendesak agar jangan bermain politik mungkin lupa mengenai Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, peruntukan tersebut jelas menyebut bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Malangnya, mereka tidak sedar bahawa pengendalian Covid-19 tidak mampu diberi tumpuan jika hal teras berkaitan keabsahan Perdana Menteri telah runtuh.

“Demokrasi berparlimen sama ada kerajaan Melayu Islam atau apa retorik sekalipun, apa yang jadi perhatian semua pihak ialah Perkara 43 (4) Perlembagaan melibatkan keabsahan kepimpinan Perdana Menteri,” tegasnya dalam forum Dari Studio Dahsyat Jalan Kapar malam ini.

Beliau mengingatkan soal berkaitan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap Mahiaddin tidak harus dilengah-lengahkan.

“Hal ini adalah perkara teras bukan cabang. Ini bukan soal siapa yang berkuasa atau bermain politk, tidak.

“Isunya ialah keabsahan Perdana Menteri degan majoriti sokongan yang dimiliki,” katanya dalam program bual bicara bertajuk, “100 lawan 120, Mahiaddin menipu?” itu.

Rampasan kuasa

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga berpendapat kegagalan Mahyiddin bukan berlaku pada masa ini sahaja sebaliknya sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu.

“Itulah yang kami (pembangkang) asyik minta tunjukkan (sokongan) majoriti, sebab itu perkara teras,” tegasnya.

Mujahid menegaskan keabsahan Perdana Menteri dan kerajaan PN penting memandangkan akan memberi kesan kepada perbelanjaan negara.

“1 sen yang dikeluakan oleh kerajaan, ada punya undang-undang. Ini sudah keluar hampir RM300 bilion semasa pembentangan Belanjwan 2021.

“Di mana dia (Mahiaddin) dapat keabsahan itu, kalau dari dulu hingga sekarang, dia gagal membuktikan.

“Sedangkan satu dunia dah tau dia tiada majoriti. Kalau dia benar-benar pertahan Perlemagaan, Kabinet Mahiaddin tidak perlu tunggu (sidang Parlimen) 6 September nanti,” katanya lagi.