Malaysia Dateline

COVID-19 tidak pilih tempat, Ustaz Azhar Idrus bidas Samsuri

Susulan kerajaan Negeri Terengganu melarang mengadakan jamuan berbuka di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan bagaimanapun penceramah terkenal di negeri itu Ustaz Azhar Idrus pula tidak bersetuju.

Beliau tidak bersetuju dengan larangan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar melalui akaun Facebooknya.

Penceramah yang terkenal dengan slogan ‘dok rok chetong’ itu berkata, kerajaan Terengganu tidak sepatutnya melarang di masjid sahaja sebaliknya harus melarang di semua tempat yang dipenuhi orang ramai.

“Buat larangan untuk semua majlis berbuka puasa yang ada orang ramai bukan di masjid saja,” katanya.

Tegasnya, tempat-tempat yang lain seperti hotel dan restoran serta dewan juga boleh berlakunya penularan COVID-19 kerana pendemik ini tidak memilih tempat.

 

“Bukan di masjid sahaja tapi hotel dan restoran dan dewan , sebab Covid tak pilih tempat,”katanya.

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan, larangan majlis jamuan berbuka puasa, moreh dan makan sahur di semua masjid serta surau dilakukan bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, jemaah masih dibenarkan berbuka puasa, moreh serta makan sahur makanan berbungkus dan tidak membabitkan jumlah yang ramai.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah memberi pentauliahan kepada Ustaz Azhar Idrus untuk mengajar agama kerana beliau tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pentauliahan sedemikian.

Ogos 2020, Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah mengesahkan perkara itu, dan menyatakan ceramah beliau di surau dan masjid yang dijayakan selama ini merupakan kebenaran sementara yang dipohon pihak penganjur.