Malaysia Dateline

Covid-19: Tiga hari berterusan melonjak kepada 4,571 kes hari ini

Kes baharu Covid-19 menunjukkan peningkatan tiga hari berturut-turut apabila hari ini sebanyak 4,571 kes dilaporkan.

Lebih separuh kes baharu Covid-19 dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur iaitu masing-masing 2,056 kes dan 481 kes.

Daripada 2,056 kes baharu di Selangor hari ini, 727 kes dikesan daripada saringan kontak rapat, lain-lain saringan (696 kes), kluster sedia ada (624 kes) dan dua kes import.

Sementara, tujuh kes lagi dikesan dari kluster baharu melibatkan Jalan Industri Rawang, Jalan Gombak dan Jalan Jasmine di Bukit Beruntung.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 231,483 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan terus meningkat kepada 48,771 kes.

Hingga kini seramai 308 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 135 kes daripadanya masih memerlukan bantuan pernafasan.