Malaysia Dateline

Covid-19: Tiga kes baharu di dua kluster di Kuching

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan tiga kes baharu melibatkan dua kluster Covid-19 di negeri Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster persidangan keagamaan di sebuah Gereja di Kuching mencatatkan satu kes baharu.

“Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kluster itu adalah 176 kes. Daripada jumlah itu, 86 kes discaj yang telah pulih sepenuhnya dan 85 kes sedang dirawat di wad biasa di hospital.

“Dua lagi kes di Unit Rawatan Rapi (ICU dan tiga kes kematian iaitu kes ke-358, kes ke-2471 dan kes ke-2864.

“Bagi kluster Hospital Umum Sarawak (HUS) yang melibatkan anggota kesihatan HUS pula, terdapat dua kes baharu direkodkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan itu, jelasnya, jumlah kes positif Covid-19 kluster tersebut adalah sebanyak 56 kes dengan 35 telah pulih sepenuhnya dan 21 kes lagi sedang dirawat di hospital.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, kebanyakan kes daripada kluster di HUS adalah berkait rapat dengan kluster terbesar di Kuching, iaitu kluster persidangan keagamaan di sebuah Gereja (29 kes atau 51.8 peratus).

Setakat ini, katanya lagi, tiada kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad Covid-19 dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital tersebut.