Malaysia Dateline

Covid-19: Tiga kluster tapak pembinaan catat 88 kes positif

Sebanyak tiga kluster melibatkan tapak pembinaan telah dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, setakat ini, 88 kes positif Covid-19 telah dikesan dari semua tapak pembinaan tersebut.

“Daripada jumlah 488 sampel yang telah diambil melibatkan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur, 31 kes positif dikesan yang merangkumi 29 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, manakala 457 kes negatif wabak tersebut.

“Untuk Kluster Tapak Pembinaan Setia Alam pula, sebanyak 91 sampel telah diambil. Keputusannya, 13 kes positif Covid-19 dikesan yang terdiri daripada semua warga Bangladesh, manakala 78 kes negatif wabak berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 44 kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2, juga dikesan hasil 350 sampel yang telah diambil.

“Ia merangkumi 34 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia dan satu warga Malaysia yang dikesan pada 25 Mei 2020. 306 kes negatif wabak tersebut,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai punca penularan wabak Covid-19 yang melibatkan kluster tapak pembinaan, Dr Noor Hisham berkata, antara punca utama penularan kes wabak itu di kalangan pekerja bukan warganegara adalah penginapan yang sesak.

“Penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial antara satu sama lain di tempat penginapan.

“Punca lain adalah berkaitan amalan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan.

“Majikan adalah bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan,” katanya lagi.