Malaysia Dateline

COVID-19: UNIMAS peruntuk RM1 juta laksana kekang penularan

Sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan oleh Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS)dalam melaksanakan langkah-langkah penularan COVID-19.

Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi memberitahu, langkah-langkah berkenaan adalah termasuk menyokong pembangunan infrastruktur teknologi maklumat bagi membolehkan kuliah secara dalam talian mampu dilaksanakan sepenuhnya.

Jelasnya, kuliah secara dalam talian bertujuan bagi mengelak pertemuan atau perjumpaan bersemuka dalam mengekang penularan COVID-19.

“Aktiviti pengajaran dan pembelajaran di UNIMAS ketika ini ditangguhkan dengan melanjutkan tempoh cuti semester dari 14 hingga 31 Mac selaras pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Justeru, apabila bermula semester pada 1 April nanti, kuliah akan dikendalikan secara dalam talian sehingga dimaklumkan kemudian, tertakluk kepada langkah-langkah terkini diambil kerajaan membendung penularan COVID-19,” tegas beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Dr Mohamad Kadim menambah, UNIMAS akan mempertingkatkan lagi infrastruktur teknologi maklumat di universiti itu agar memperluaskan penggunaan sistem pengajaran dalam talian sedia ada dikenali eLEAP.

Katanya, eLEAP telah dimulakan sejak dua dekad lalu dengan menyediakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian, ia mudah digunakan oleh pensyarah dan pelajar.

“Di samping itu, pensyarah juga menggunakan aplikasi ‘live class streaming’, Zoom.Us dan Skype. Semua pelajar akan dimaklumkan oleh pensyarah masing-masing mengenai penggunaan aplikasi ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, UNIMAS telah mengesahkan bahawa pada 21 Mac, salah seorang staf akademiknya telah diuji positif COVID-19.

Berikutan perkembangan terbaru itu, UNIMAS memberi jaminan akan mengambil semua langkah yang drastik bagi mengekang penularan.