Malaysia Dateline

Covid-19: Untung bersih, pendapatan Astro jatuh, Tun Zaki letak jawatan 1 April

Astro mengumumkan bahawa Tun Zaki Azmi akan meletak jawatan sebagai pengerusinya berkuat kuasa 1 April 2021, lapor Bernama hari ini.

Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) merosot kepada RM539.85 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2021 daripada RM655.30 juta pada tahun kewangan 2020.

Penyusutan keuntungan itu kebanyakannya disebabkan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Astro berkata, margin EBITDA untuk tahun kewangan 2021 jatuh 1.3 peratus berbanding tahun kewangan 2020, susulan kos barang niaga dan kos berkaitan dengan kakitangan yang lebih tinggi tetapi ia dapat diatasi dengan kos kandungan yang lebih rendah serta kos lesen, hak cipta dan royalti sebagai peratusan hasilnya.

Katanya, keuntungan bersih yang lebih rendah untuk tahun kewangan itu diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah, pelunasan perisian, susut nilai harta tanah, peralatan serta kos kewangan bersih.

Sementara itu, perolehan berkurangan kepada RM4.36 bilion pada tahun kewangan 2021 daripada RM4.91 bilion tahun ke tahun, kebanyakannya disebabkan penurunan dalam pendapatan langganan dan pendapatan iklan, diimbangi oleh jualan barang niaga yang lebih tinggi.

“Hasil sepanjang tahun itu dipengaruhi oleh pandemik Covid-19,” katanya.

Keuntungan bersih bagi suku keempat tahun kewangan 2021 meningkat kepada RM167.83 juta daripada RM138.92 juta tahun ke tahun, manakala pendapatan jatuh kepada RM1.11 bilion daripada RM1.23 bilion sebelumnya.

Walaupun terdapat sekatan pada bulan Januari 2021, perbelanjaan iklan Astro (Adex) pulih, memperkukuhkan Adex bagi tahun kewangan 2021 berjumlah RM428 juta, sementara bahagian penonton televisyen stabil pada 73 peratus.

“Perbelanjaan bagi radio, televisyen dan bahagian digital Adex masing-masing berjumlah 76 peratus, 41 peratus dan 3.0 peratus,” katanya.

Berikutan prestasi untuk tahun kewangan 2021, Astro telah mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 1.5 sen sesaham dan mencadangkan dividen akhir sebanyak 2.5 sen sesaham, memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dengan dividen sepanjang tahun sebanyak 8.0 sen sesaham, lebih tinggi daripada dividen 7.5 sen sesaham pada tahun kewangan 2020.

“Dividen itu mewakili 77 peratus daripada keuntungan tahun kewangan 2021 Astro, di atas dasar dividen kami untuk membayar 75 peratus keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti,” katanya.

Dalam satu makluman yang berasingan, Astro mengumumkan bahawa Tun Zaki Azmi akan meletak jawatan sebagai pengerusinya berkuat kuasa 1 April 2021.