Malaysia Dateline

Covid-19: Varian membimbangkan sudah menular di semua negeri

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 119 kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jika dilihat daripada kes yang dijangkiti VOC, varian tersebut sudah menular di semua negeri, terutama bagi varian Afrika Selatan B.1.351.

Menurutnya, besar kemungkinan varian itu sudah pun menular dengan lebih meluas dalam komuniti sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di seluruh negara.

“Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan, wabak tersebut akan terus merebak dan menyukarkan KKM untuk membendung peningkatan kes Covid-19 sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan.

Sehubungan itu, katanya, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti.

Dr Noor Hisham berkata, antara negeri yang dikesan varian VOC adalah Selangor (42 kes); Sarawak (20); Kelantan (18); Kuala Lumpur (11); Perak (10); Kedah (7); Pulau Pinang (3); Negeri Sembilan (2); Johor (2); Perlis (2); , Labuan (1) dan Sabah (1).