Malaysia Dateline

COVID-19: Warga China yang dirawat di Johor Bahru sembuh sepenuhnya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa satu kes telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang semalam.

Kenyataan tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam sidang media status terkini mengenai kluster COVID-19.

“Kes tersebut adalah yang ke-15, melibatkan seorang wanita warganegara China yang sebelum ini dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru.

“Seterusnya, tiada kes baru dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kes COVID-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang.

“Manakala jumlah kes yang telah discaj adalah seramai lapan orang,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

Sementara itu, Azizah menjelaskan, bagi lapan kes yang telah discaj tersebut, mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan COVID-19 dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut.

Terdahulu, pada 7 Februari lalu, KKM memaklumkan kes ke-15 membabitkan seorang pelancong wanita dari Wuhan, China.

Dzulkefly berkata, wanita berusia 59 tahun itu tiba di Malaysia bersama suami, anak lelaki dan menantunya pada 21 Januari lalu dari Singapura.

Jelasnya, wanita berkenaan mengalami gejala demam pada 26 Januari lalu dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli oleh anaknya di farmasi berdekatan hotel mereka di Johor Baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian terus meningkat kepada 1,669 kes manakala 9,467 pulih.

Setakat petang ini juga, terdapat 69,265 kes dijangkiti COVID-19 yang melanda sebanyak 29 negara.

Malaysia berada di tangga ketujuh kes tertinggi jangkitan dengan 22 kes diikuti Taiwan (18), Jerman dan Vietnam masing-masing 16 kes.