Malaysia Dateline

COVID-19: Wujud pasukan khas, luaskan saringan kepada Pati

Pemuda AMANAH Nasional menyarankan supaya kerajaan mewujudkan pasukan khas melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk ‘memburu’ golongan Pendatang Tanpa Izin (Pati) hingga ke petempatan-petempatan haram di lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kluster Pati merupakan segmen paling sukar memandangkan mereka secara semulajadinya akan takut untuk melakukan saringan secara sukarela kerana risau ditangkap pihak berkuasa.

Dari sudut prosedur katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh menasihatkan Kabinet untuk mewartakan sebuah perintah pengampunan sementara agar kelompok ini boleh keluar dan melakukan saringan secara sukarela.

“NGO Sekretariat Khidmat Imigran pernah menganggarkan bahawa jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Malaysia pada tahun 2014 sahaja mencecah 4.6 juta. Ini bukan suatu angka yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa seluruh warga KKM yang bertugas di barisan hadapan layak untuk menerima elaun RM600 sebagaimana yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Keluhan di media-media sosial bahawa ramai staf KKM telah dikategorikan sebagai ‘tidak layak’ wajar dipertimbangkan semula,”ujarnya.

Katanya, bantuan yang diuar-uarkan menjadi indah khabar dari rupa akibat syarat yang bukan-bukan dan tidak mengambil kira bebanan tugas keseluruhan yang kian bertambah.

“Malah apabila kakitangan perubatan di luar kawasan turut dikerahkan ke barisan hadapan, termasuklah mereka yang sudah bersara.

“Walau di jabatan atau unit mana mereka ditempatkan, warga KKM secara umumnya telah berhempas-pulas siang dan malam untuk memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan, bahkan juga mendedahkan diri dan ahli keluarga mereka keluarga kepada risiko jangkitan,” tegas beliau.

Justeru katanya, pengorbanan para pejuang barisan hadapan ini harus dihargai.

“Elaun yang ditawarkan itu wajar dibayar tanpa syarat yang bukan-bukan untuk membuktikan keikhlasan kita kepada mereka,” katanya.