Malaysia Dateline

Covid 19 yang meragut Wak Imah

Pagi ini, Tuhan telah menghantar malaikat Izrail untuk menjemput Wak Imah kembali kepada Sang PenciptaNya. Urusan dunia Wak Imah telah selesai sudah. Wak Imah pergi sendiri tanpa keluarga di sisinya. Covid 19 memang tidak mengerti rasa manusiawi dan insani.

Wak Imah (Hajjah Halimah) bertudung coklat di sebelah kanan gambar, Bik Nah dan Mak bergambar di kampong.

Segala peraturan dan undang-undang memenatkan kami yang lelah menghirup kehidupan selama dua tahun ini. Pegawai Perubatan mencatatkan punca kematian Wak Imah sebagai Covid 19 Pneumonia Cat-4.

Terima kasih kepada para pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan bertugas di Hospital Shah Alam yang memudahkan kami berhubung melalui google-meet dengan Wak Imah sebelum dijemput pergi. Hanya saya sahaja yang sering terlepas setiap kali diadakan interaksi google-meet.

Kami dipisahkan oleh peraturan dan undang-undang serta ditambahkan dengan kesibukan sendiri yang kadangkala gagal menilai peri kepentingan hidup berkeluarga, bersosial dalam sebuah tradisi yang sama-sama diwarisi bersama. Memiliki teknologi terkini dan kesenangan hidup belum dapat menjamin terjalin hubungan ini. Itulah kealpaan yang sering disesali setiap detik berlalu pergi.

Tanah perkuburan di Shah Alam yang menempatkan jenazah Wak Imah yang urusannya hanya dapat kami pantau melalui Google meet.

Wak Imah atau Hajjah Halimah adalah kakak kedua Mak. Mereka adalah anak kepada pasangan Kiyai Haji Mohd. Yasin Abu Bakar Thoha dengan Hajjah Salamah. Wak Imah sudah berusia 90 tahun. Hampir seumur dengan usia mak mertua saya yang lebih awal pergi menemui Penciptanya di bulan Ramadhan lalu. Merekalah saksi dan mempunyai aksi dalam berjuang membangun tanah air ini merdeka dari penjajah. Sayangnya sejarah mereka terus terkubur bersama jasad.

Kitalah jua yang kehilangan khazanah keluarga dan bangsa. Tiada yang upaya untuk dinukilkan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membina keluarga dan bangsa. Wak Imah lahir tatkala ekonomi dunia dilanda kemelesetan yang paling teruk dalam sejarah. Harga komoditi dunia jatuh termasuk kelapa yang menjadi sumber pendapatan pekebun kelapa di daerah Bagan Datoh.

Lahir pada 1931, selepas sedekad seluruh dunia diserang pandemik dengan Spanish Flu. Ketika angka kematian di seluruh dunia melebihi daripada kadar kematian di medan perang Dunia Pertama yang berlaku pada 1914 hingga 1918. Kematian akibat pandemik ini di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 20 juta hingga 100 juta. Sedangkan perang dunia menyebabkan sebanyak 8 juta tentera terbunuh dan 13 juta orang awam terkorban.
Kini selepas lebih 100 tahun, dunia kembali diserang oleh sejenis virus secara pandemik.

Serangan virus baru cukup pantas dan ganas. Virus yang buta tentang perbezaan agama, bangsa, keturunan, kelas, mazhab, parti atau apa juga batas yang manusia bina. Tuhan hantar amaran virus di Malaysia melalui kematian pertama dari seorang lelaki muda yang ‘kaki masjid’ dan mangsa kedua seorang paderi di Sarawak pada Mac 2000. Entah apa yang Tuhan hendak sampaikan. Kemudian angka itu semakin meningkat dari hari ke sehari.

Presiden Amerika Syarikat, John D. Rockefeller pernah berkata, ‘Ada hari yang kebanyakan orang akan tawar hati. Sepanjang 93 tahun hidup saya, kemelesetan telah datang dan pergi. Kemakmuran pernah kembali, dan akan kembali semula.’ Itulah ungkapan pemimpin yang optimis masa hadapan negara buat rakyatnya. Bukan seperti pemimpin negara, rela dituduh bodoh semata-mata mempertahankan kedududukannya sebagai Perdana Menteri.

Yang kita perlukan adalah pemimpin yang bervisi tinggi dan bukan bernafsu tinggi. Berita pemimpin cirit berit lebih penting daripada cerita kesengsaraan rakyat. Negara berhadapan situasi sejuta lebih rakyat kehilangan pekerjaan yang menjadi punca pendapatan, sistem pendidikan terencat teruk (meski keputusan SPM mencatatkan rekod terbaik sepanjang lima tahun sebelum itu) dan kadar bunuh diri meningkat, keganasan domestik juga bertambah dan pelbagai masalah yang wujud.

Jangan diharap ada gencatan berpolitik antara kelompok orang politik. Ia tidak pernah berlaku dalam politik. Jangan mengharap. Ketika 100 tahun lalu dunia sedang bergelut dengan pandemik, bahang politik dunia tidak pernah surut. Bahkan pergulatan politik tersebut mencetuskan perang dunia kedua pada 1940 yang melebih menyemarakkan api politik.

Perang dunia kedua tamat tetapi perang politik tidak tamat. Kebangkitan pula berlaku di negara-negara yang dijajah oleh kuasa-kuasa besar dunia pada ketika itu. Dimulai dengan gerakan kemerdekaan di India, merebak ke Indonesia, Burma dan Filipina dan akhirnya ke seluruh Asia. Politik tidak pernah mati dan tenggelam punca untuk bergerak. Ulang kembali, politik tidak akan terhenti.

Berdekad Wak Imah tinggal di kampong Sungai Batang, Bagan Datoh tetapi akhirnya disemadikan di Shah Alam. Kini tinggal Mak, Wak Idek dan Bik Nah adik beradik seibu yang masih tinggal. Semua urusan pengkebumian diurus oleh pihak hospital. Kami hanya memandang dari kejauhan dan berkongsi video. Tetapi inilah norma baru yang diperkenalkan demi kelangsungan hidup. Norma yang memaksa kita mematuhi tanpa soal. Doktrin yang dipasakkan ke dalam benak otak rakyat ialah ‘stay at home’, ‘kitajagakita’ dan segala macam mentera penyedap halwa telinga.

Covid 19 semakin hari semakin mendekati daerah kami. Tatkala suatu ketika dahulu, hanya mendengar cerita dari teman wilayah atau daerah lain. Tetapi kini, satu demi satu teman dan jiran tetangga terkorban. Covid 19 tidak lagi bergerak dengan cecair dan sentuhan tetapi kini sudah bersebati dengan angin dan udara yang kita kongsi sama. Angka jangkitan enggan turun seperti ahli politik sombong dengan kuasa dan takhtanya.

Dua tahun lalu, kadar kematian hanya dua tiga orang tetapi kini sudah setiap hari meragut lebih 50 nyawa. Hilang sudah bicara Wak Imah yang diselang seli jenakanya yang bersahaja. Hilang sudah ceria wajahnya memandang kami anak-anak saudara dan cucu-cicitnya. Lebih 5000 jiwa yang terkorban adalah angka luka negara termasuk jiwa Wak Imah yang baru pergi.

Covid 19 meragut segala-galanya. Jika mahu dimengertikan sedalam-dalamnya ibrah besar ini berlaku di hadapan hayat kita. Ini sahaja yang mampu saya catatkan sebagai balasungkawa. Al Fatihah buat Wak Imah, semoga bahagia di alam yang lebih mulia dan berkah. Amin.