Malaysia Dateline

Covid hanya alasan Muhyiddin kekalkan kuasa, bidas Mahfuz

Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan Proklamasi Darurat dianggap hanya alasan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

DATUK MAHFUZ OMAR

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, Covid-19 hanya dijadikan alasan untuk Muhyiddin menghalalkan tindakannya bagi mendapatkan darurat, walhal langkah menghadapi wabak berkenaan telah pun diumumkan petang semalam.

Jelasnya, apa yang dilakukan PN adalah tindakan yang sama sekali bukan bertujuan menyelamatkan rakyat dan menangani masalah Covid-19.

“Semalam telah diisytiharkan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP-Pemulihan yang jelas adalah tindakan menyekat penularan wabak berkenaan.

“Jadi isu darurat ini saya langsung tak lihat ianya untuk mengatasi masalah Covid-19.

“Apa yang jelas, ianya untuk mengelak daripada kerajaan PN dan Muhyiddin hilang kuasa,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Pada masa sama, Mahfuz turut menganggap bahawa Muhyiddin sudah membayangkan apa yang akan berlaku terhadap kedudukannya jika darurat tidak dilaksanakan terutama selepas satu per satu Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Presiden Bersatu itu.

Hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz secara rasmi mengumumkan beliau menarik balik sokongan ke atas Muhyiddin.

Mohamed Nazri merupakan Ahli Parlimen Umno/Barisan Nasional yang ketiga membuat tindakan demikian selepas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, dan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dengan penarikan sokongan itu, kerajaan PN hanya mempunyai 109 sokongan Ahli Dewan Rakyat, sekali gus menyaksikan gabungan itu telah hilang majoriti yang diperlukan.

Sementara itu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, dengan keadaan Kabinet Muhyiddin yang tidak mempunyai majoriti, maka keputusan darurat juga sewajarnya dianggap tidak sah.

“Bila tak ada majoriti, ini bermakna keputusan yang dibuat pada waktu itu adalah keputusan yang tak sah. Apatah lagi apabila semalam ada 110 tetapi harini tinggal 109 sokongan sahaja.

“Bagaimana kerajaan yang tiada keabsahan ini boleh memohon darurat? Macam mana dia boleh jalankan tugas sebagai penasihat Agong?,” soalnya lagi