Cox Bazaar: Kementerian Pertahanan  zahir sokongan kepada anggota ATM di HMM
Liew Chin Tong menerahkan cenderamata kepada Mejar Jeneral Tarique Ahmed Siddique. Foto Media ATM.

Cox Bazaar: Kementerian Pertahanan zahir sokongan kepada anggota ATM di HMM

Kementerian Pertahanan menzahirkan sokongan kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Medan Malaysia (HMM) yang telah didirikan untuk membantu pelarian Rohingya di Kem Pelarian Cox’s Bazaar, Ukhia, Bangladesh.

Timbalan Menterinay Senator Liew Chin Tong dalam rangka lawatan kerja ke Bangladesh selama empat hari berakhir 17 Mei lepas, berkata, anggota ATM menjadi satu platform untuk kerajaan Malaysia membantu kerajaan Bangladesh dan masyarakat antarabangsa dalam menguruskan krisis ini agar ia tidak bertambah buruk sehingga menjadi krisis pelarian untuk seluruh rantau.

Kunjungan hormat Liew Chin Tong ke atas Penasihat Pertahanan dan Keselamatan kepada Perdana Menteri Bangladesh, Mejar Jeneral Tarique Ahmed Siddique pada 14 Mei 2019 antara lainnya membincangkan mengenai potensi kerjasama pertahanan Malaysia-Bangladesh, pengoperasian Hospital Medan Malaysia, permasalahan pekerja Bangladesh di Malaysia, dan ekonomi Bangladesh yang
cepat membangun.

Seterusnya, beliau telah dijemput untuk memberi syarahan bertajuk “US and China Relations in Multipolar World” kepada 100 pegawai berpangkat Kolonel dan Brigedier Jeneral yang menuntut di Kolej Pertahanan Nasional Bangladesh (National Defence College Bangladesh).

Beliau juga turut diberi taklimat di UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees) oleh Steven Corliss, wakil Suruhanjaya
Tinggi PBB untuk Pelarian di Dhaka berkenaan situasi yang dihadapi oleh pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar.

Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazaar yang dikendalikan oleh Kor Kesihatan Diraja (KKD) ini merupakan Hospital Medan Tahap 3 yang memainkanperanan penting dalam usaha kerajaan bertindakbalas terhadap krisis pelarian Rohingya. Kini, terdapat 55 anggota perubatan ATM yang sedang menjalankan tugas di bawah Ops  STARLIGHT-3; penempatan mereka digantikan setiap enam bulan sejak 20 November 2017. Mereka bekerjasama dengan baik bersama kerajaan Bangladesh, Angkatan Tentera Bangladesh, pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan antarabangsa.

Mengisi jadual lawatan, pada 15 Mei 2019, beliau turut meluangkan masa di majlis berbuka puasa bersama Komander Ops Starlight-3, iaitu Kolonel Dr. Shamsul Bahrain bin Muhamad, dan anggota perubatan HMM lain di samping majlis yang sama pada 16 Mei 2019 bersama-sama kolaborator tempatan lain serta Pegawai Memerintah Divisyen Infantri ke-10 Bangaldesh dan Komander Kawasan Cox’s Bazaar, Mejar Jeneral Md Main Ullah Chowdhury sebagai tetamu kehormat.

Delegasi Timbalan Menteri Pertahanan disertai oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kepada Bangladesh, En. Amir Farid bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Dr. Md Amin Muslan, seorang Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan, En. Akmal Ariff bin Zainul Ariff.

Turut bersama beliau juga ialah bekas Ketua Editor New Straits Times dan Pengerusi Eksekutif ECM Libra, Datuk Seri Kalimullah Hassan, Ketua Eksekutif The Edge Media, Ho Kay Tat, Ketua Editor Oriental Daily, Ding Lee Leong, dan Pengarah Antarabangsa Geutanyoe Foundation, Lilianne Fan.

Semasa sesi lawatan di Kem Pelarian Cox’s Bazaar pada 16 Mei 2019 yang juga merupakan kem pelarian terbesar di dunia, Timbalan Menteri Pertahanan serta delegasi turut dibawa bertemu dengan pihak berkuasa kem, melawat tempat perlindungan IOM (International Organization for Migration) dan Pusat Pengagihan Bahan Bukan Makanan (NFIs Centre), serta telah mengadakan perbincangan dengan wakil masyarakat Rohingya daripada Arakan Rohingya Society for Peace and Human Rights yang terdiri daripada ketua-ketua masyarakat, kaum wanita, belia, dan guru-guru yang turut berada di kem pelarian berkenaan.

Di samping itu, delegasi Timbalan Menteri Pertahanan turut bertemu dengan beberapa NGO, seperti OXFAM, Save the Children, Danish Refugee Council, Norwegian Refugee Council, BRAC, Translators without Borders, dan wakil-wakil daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya daripada UNHCR, UNICEF dan IOM.

Semua pemegang taruh telah menyatakan kekaguman mereka dengan HMM dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana terus memberi sokongan serta perhatian terhadap krisis pelarian Rohingya ini.

Timbalan Menteri Pertahanan dan delegasi turut juga meluangkan masa untuk bersama di majlis berbuka puasa dengan rakyat Malaysia di Rumah Malaysia di Dhaka sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur, kata kenyataan dari Kementerian Pertahanan itu.