Malaysia Dateline

CPTPP: Azmin diminta jawab sendiri bukan berlindung di belakang KSU

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak seharusnya mewakilkan Ketua Setiausaha Kementeriannya (KSU) untuk membalas surat yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat berhubung kenyataan mengelirukan yang dikeluarkannya dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Azmin telah mengeluarkan kenyataan palsu yang menuduh Pakatan Harapan telah meratifikasi Perjanjian Komprehesif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Walhal katanya, keputusan akhir Kabinet PH pada November 2019 telah memutuskan untuk menolak perjanjian ratifikasi berkenaan sekaligus membatalkan keputusan awal mereka pada September 2018 yang ketika itu sepakat mahu meratifikasi CPTPP.

Bagaimanapun beliau mendakwa, surat yang memohon Speaker Dewan Rakyat agar Menteri Kanan PN itu dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen, telah dibalas oleh Ketua Setiausaha Menteri (KSU) Azmin dan bukan Azmin sebagai Menteri.

“Saya dah buat satu surat kepada Speaker pada 6 Ogos untuk merujuk Azmin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana memberikan maklumat palsu dan mengelirukan Dewan.

“Saya perhatikan di sini ianya tidak dijawab oleh Azmin sendiri. Tetapi dijawab oleh KSU. Ini adalah perkara tak betul kerana apabila Speaker tulis surat kepada Azmin sebagai ahli Dewan Rakyat, tak boleh wakilkan kepada orang lain dengan meminta KSU untuk jawab.

“Itu adalah satu tindakan yang tidak hormat malah menghina Speaker dan Dewan. Saya tulis satu lagi surat rayuan pada 25 Ogos pada Speaker, untuk meminta perkara ini dipertimbang semula.

“Perkara ini amat mudah dan jelas iaitu adakah Menteri cakap benar. Beliau sebut 5 September 2018 Kabinet PH telah keratifikasi CPTPP, tetapi tidak sebut bahawa pada 29 November 2019, keputusan PH adalah untuk tak ratifikasi,” katanya lagi.

Pada 4 Ogos, Lim mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin supaya mengemukakan fakta yang tepat berhubung status ratifikasi CPTPP.

Beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan Azmin kerana Kabinet ketika ditadbir PH tidak bersetuju dengan ratifikasi tersebut kerana tidak mahu campurtangan dari negara luar ke dalam urusan perniagaan dan perdagangan di negara ini.

Beliau mendakwa, jawapan yang dikemukakan Azmin sebagai tidak benar dan meminta agar fakta itu diperbetulkan.

Bagaimanapun, Azmin kemudian menjawab bahawa Lim yang ketika itu merupakan anggota Kabinet pada 5 September 2018 bersetuju untuk meratifikasi perjanjian tersebut.

Jawapan yang diberikan Azmin itu menyebabkan Guan Eng membidas sekali lagi dengan meminta Azmin supaya menyemak semula fakta yang diberikan olehnya.

Namun sehingga hari ini, Azmin masih lagi tidak membetulkan faktanya sehingga Lim memohon kepada Speaker untuk merujuk Azmin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.