
Satu perkara yang menjadi kemelut bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah adakah mereka menanda tangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau tidak?
Dalam hal ini Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan terus meratifikasikan perjanjian CPTPP.
Penjelasan Dr Mahathir kepada Straits Times dipetik, ini, menunjukkan betapa Malaysia melaksanakan komitmen kepada perdagangan bebas yang dianggotai oleh 11 negara anggota itu.
Ini juga dikira menjawab pertanyaan Perdana Menteri China, Le Keqiang tempoh hari semasa lawatan beliau di sana.
Dalam pertanyaan Li Keqiang kepada Dr Mahathir semasa sidang media tersebut adakah Malaysia bersama dalam pedagangan bebas mungkin dalam hal menentang Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium dari China?
Dr Mahathir menjelaskan, Malaysia menyokong perdagangan bebas selagi ia merupakan perdagangan yang adil.
Dalam temubual dengan stesen televisyen Thailand, Dr Mahathir juga ditanya mengenai pendirian beliau mengenai CPTPP.
PM berkata: “Selepas AS menarik keluar daripada Perkongsian Trans-Pasifik, syarat yang membenarkan syarikat menyaman kerajaan tidak lagi ditakuti. Sehubungan itu dominasi AS akan berkurangan ke atas negara-negara lain.
“Kerajaan sebelum ini telah menandatangani menjadi ahli. Kita tidak boleh menarik diri tanpa kehilangan maruah, oleh itu kita akan terus bersetuju dengan perjanjian CPTPP.” katanya.
Malaysia bersama-sama dengan 10 negara lain – Australia, Brunai, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam – telah menandatangi perjanjian perdagangan bebas ini pada Mac lalu.
Sehingga kini hanya Singapura, Mexico and Jepun telah meratifikasi pakatan perdagangan. Australia dan Chile telah menunjukkan kesediaan untuk meratikasikannya pada hujung tahun ini.
Namun langkah seterus yang harus dilakukan kerajaan setelah meratifikasinya ialah merubah undang-undang dan dasar kerajaan kerana ia boleh mengemukakan kesan atau implikasi kepada sosial, ekonomi dan politik.
Ini kerana beberapa undang-undang dalam negara harus dipinda untuk disesuaikan dengan peraturan di bawah CPTPP.
Bahkan menurut Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa, Dr Ong Kian Ming, sebanyak 17 undang-undang akan dipinda atau diperkenalkan berhubung dengan CPTTP.
“Menteri-menteri di sesetengah kementerian telah diberikan taklimat berhubung dengan kos dan keberkesanannya kepada CPTTP. Kementerian-kementerian ini harus meluluskan perubahan rang-undang-undang sebagai sebahagian daripada proses ratifikasi perjanjian, katanya kepada The Edge Financial Daily.
Perkara ini akan menimbulkan perdebatan dalam kalangan ahli politik PH kerana ada yang kritikal dengan CPTTP.
Ini kerana semasa kerajaan BN memerintah isu TPP menjadi sesuatu yang kontroversial dan menerima banyak bantahan orang awam.
Bahkan parti gabungan dalam PH (semasa itu pembangkang) dan ahli parlimen juga menentang TPP semasa ia dibentangkan di Parlimen.
Mungkin apa yang meredakan ialah ketiadaan AS dalam TPP yang dikenali sebagai CPTPP. Ini juga merupakan suatu pukulan kepada kebanyakan negara anggota kerana mereka ingin barangan mereka menembusi pasaran Amerika.
Walaupun AS telah menarik diri dari CPTTP kerana menurut Presiden AS, Donald Trump ia tidak menguntungkan Washington, kesebelas negara anggota masih kekal dalam TPP dan telah menukar nama kepada CPTTP sekarang.
Namun dari 1,000 peruntukan peraturan dalam TPP, 22 telah digantung atau dikeluarkan dengan harapan AS akan menyertai kembali supaya dapat dimasukkan kembali.
Apa yang kehilangan daripada CPTPP menjadikan seperti hilang seri ialah ketiadaan capaian lebihan ke pasaran AS. Namun harus diingat terdapat klausa dalam CPTPP yang memaksa Malaysia untuk patuhi tetapi ia tidak kena mengena dengan perdagangan kerana ia akan melimpah ke bidang kebebasan dan ruang mengenai kedaulatan yang akan memberikan cabaran untuk Malaysia hendak merumus dan melaksanakan dasar, undang-undang dan peraturan.
Salah satu peraturannya ialah dasar pelaburan. Syarikat-syarikat dan individu di negara anggota TPP harus dibenarkan untuk melabur bukan sahaja dalam pelaburan asing langsun tetapi dalam ekuiti, pinjaman, kontrak, deposit, harta pemilikan.
Syarat-syaratnya ialah dalam misalnya tiada pemindahan teknologi dan penggunaan kandungan tempatan tidak diperlukan atau dibenarkan. Secara amnya pelabur asing harus dilayan sama rata dengan pelabur tempatan.
Para pelabur asing daripada negara-negara CPTPP yang lain boleh menyaman kerajaan negara anggotanya dalam tribunal antarabangsa sekiranya mereka merasakan mereka tidak diberikan layanan sama rata, di bawah sistem kontroversial yang dikenali sebagai pelabur-negara penyelesaian pertikaian (ISDS).
Ini termasuk dakwaaan di mana pelabur tersebut berkata yang ia mengalami kerugian dan kehilangan pendapatan, juga termasuk jika perubahan dalam dasar kerajaan atau kontrak dirunding semula atau bidaan untuk projek kerajaan.
Agaknya ini yang merunsingkan Dr Mahathir klausa syarikat-syarikat boleh menyaman kerajaan khusus negara kuasa besar.
Sekiranya AS sudah tidak menjadi ahli negara anggota tidak harus berasa bimbang kepada klausa yang dianggap sama ada dibeku atau diketepikan dari dalam peraturan.
Keadaan ini boleh menjadi masalah andainya China berada dalam CPTPP dan pembatalan projek ECRL dan gas Sabah di mana tentunya mengikut klausa peraturan dalam CPTPP isu saman boleh digunakan. Tetapi tiada klausa dalam saman syarikat terhadap kerajaan disebut berhubung dengan pertukaran kerajaan.
Salah satu klausa peraturan lain yang juga dapat diberikan perhatian yang mungkin bersesuaian dengan pendirian yang ingin mencegah amalan rasuah ialah pemerolehan kerajaan.
Tetapi ada klausa yang boleh menjejaskan kedaulatan kerajaan juga. Apa yang baik ialah ketelusan dalam setiap pemerolehan kerajaan berhubung dengan pemberian kontrak dan projek kerajaan yang harus telus.
Tetapi yang menjejaskan kedaulatan ialah layanan sama rata antara syarikat asing dan tempatan.
Sebarang pemberian kontrak tidak harus wujud diskriminasi antara syarikat tempatan dan asing, jika bidaan dibuat oleh syarikat asing dalam penawaran kontrak kerajaan. Ia akan menggugat dasar layanan ke atas syarikat bumiputra daripada syarikat lain dan bagaimana pula dengan syarikat berkaitan dengan kerajaan misalnya anak syarikat Telekom Malaysia Tenaga Nasional (TN) atau Petronas.
Ini kerana kelebihan pemberian kontrak atau tender ialah mengutamakan syarikat bumiputera, syarikat kaitan dengan kerajaan atau syarikat tempatan daripada syarikat asing.
Perkara-perkar ini haruslah telus dan dibincangkan dalam Dewan Rakyat. Ini berkaitan dengan dasar negara dan tempatan dan adakah peraturan ini harus dipinda demi memenuhi klausa peraturan dalam CPTPP?
*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.