CTOS lancar penyelesaian skor PKS, nilai kepercayaan kredit

CTOS lancar penyelesaian skor PKS, nilai kepercayaan kredit

Anak syarikat CTOS Holdings Sdn Bhd, CTOS Data Systems Sdn Bhd melancarkan Skor PKS CTOS bertujuan menyediakan penilaian kepercayaan kredit yang mudah dan universal untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CTOS Holdings Dennis Martin berkata penyelesaian itu akan membolehkan PKS membuat keputusan dengan yakin dan pantas memandangkan mereka dapat menilai syarikat dan peniaga yang berpotensi untuk diberikan pinjaman, pajakan dan kredit perdagangan.

“Penyelesaian itu akan membantu memacu pertumbuhan PKS di Malaysia dengan menyediakan penilaian kepercayaan kredit yang mudah dan universal untuk mendapat terma dan tawaran terbaik daripada bakal pemiutang dan PKS lain.

“Dengan segmen pembiayaan PKS yang semakin sibuk, kami menjangka keputusan pantas dan penilaian komprehensif daripada data yang ditawarkan penyelesaian itu, akan menjadi panduan kepada pembuat keputusan PKS berhubung pembiayaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu oada Khamis.

Dibangunkan dengan kerjasama FICO, piawaian de facto bagi skor kredit di Amerika Syarikat, Martin berkata penyelesaian berkenaan menyediakan maklumat terkini kedudukan kewangan semasa PKS, membolehkan pemberi pinjaman membuat tindakan terlebih dahulu terhadap pembayaran lewat atau hutang lapuk.

Sebagai skor industri yang komprehensif, beliau berkata penyelesaian itu menerima data daripada Data Kredit Syarikat Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan Data Kredit Pengguna CCRIS daripada Bank Negara Malaysia, data pemfailan di Jabatan Pendaftaran Negara, selain data kewangan dan maklumat nisbah dan perniagaan dan proprietari CTOS Data yang diuruskan rakan kongsinya.

Ketika ini beliau berkata terdapat hampir sejuta PKS di Malaysia yang membentuk 98 peratus syarikat tempatan dan mewujudkan pekerjaan kepada dua pertiga daripada rakyat Malaysia yang bekerja.

Menurutnya segmen itu menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka meningkat kepada 41 peratus pada 2020.

Martin berkata berdasarkan analisis Skor PKS CTOS ke atas sejuta PKS di Malaysia, 54 peratus daripada syarikat, 60 peratus daripada perkongsian dan 52 peratus daripada pemilik tunggal mencatatkan skor 290 atau lebih, sekali gus menunjukkan kepercayaan kredit pada tahap biasa hingga cemerlang.

Pada majlis itu, CTOS turut memeterai memorandum persefahaman dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan Peoplelender Sdn Bhd untuk mengesahkan penyelesaian itu.

“Berdasarkan maklum balas, pengesahan itu berjalan lancar dan OCBC berkata mereka dijangka mampu menggandakan jumlah pinjaman yang dilakukan sebelum ini menerusi penyelesaian tersebut.

“Ini menunjukkan petanda positif untuk membantu pertumbuhan KDNK dan ekonomi serta Malaysia secara keseluruhannya. Saya ingin menjelaskan bahawa apabila mereka melihat CTOS dan skor sebagai penghalang individu untuk mendapat pembiayaan… ini adalah sebaliknya,” kata beliau.

Sebagai tawaran permulaan istimewa, Skor PKS CTOS ditawarkan pada harga RM9.90 berbanding harga biasa RM15.20 sehingga 30 September tahun ini.

Pelanggan Pengurus Kredit CTOS akan turut menikmati penyelesaian itu secara langsung tanpa bayaran.– BERNAMA