Malaysia Dateline

Cuaca panas tidak halang peminat dapatkan tiket separuh akhir Piala AFF

Keadaan cuaca panas hari ini tidak menghalang peminat bola sepak tempatan beratur panjang untuk mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Rata-rata peminat berpuas hati dengan kelancaran penjualan tiket kerana terdapat dua stesen dibuka di stadium berkenaan, dengan setiap sebuahnya mempunyai lapan kaunter sekali gus memudahkan orang ramai membeli tiket walaupun terpaksa beratur panjang sejak sebelum kaunter dibuka.

Berdasarkan tinjauan Bernama, orang ramai mula beratur sejak 7 pagi walaupun kaunter memulakan operasi tepat 9.50 pagi.

Menurut Shukur Ridhwan, 20, beliau yang sanggup datang dari Johor, dan mula beratur untuk membeli tiket sejak 8 pagi menyifatkan keadaan teratur dan tidak perlu bersesak memudahkannya mendapatkan tiket.

“Baguslah. Pembeli yang datang pun tidak perlu berebut-rebut kerana banyak kaunter disediakan dan semuanya berjalan lancar.

“Saya sanggup mengambil cuti hari ini untuk datang membeli tiket dan berharap skuad negara berjaya menewaskan Thailand dan melangkah ke peringkat akhir,” katanya yang bertolak dari Johor Bahru seawal 5 pagi tadi.

Sementara itu, Athirah Anuar, 29, berkata beliau tiba awal di lokasi berkenaan untuk mendapatkan tiket kerana tidak mahu ketinggalan memberi sepenuh sokongan terhadap pasukan bola sepak kebangsaan, Sabtu ini.

“Walaupun saya wanita, itu tidak menghalang saya untuk meminati sukan bola sepak dan saya yakin pasukan negara mampu menghadiahkan kemenangan buat seluruh peminat,” kata peniaga berasal dari Shah Alam itu.

Sebelum ini, 40,000 keping tiket habis dijual secara dalam talian dan baki 40,000 tiket dijual secara fizikal bermula hari ini, namun habis terjual dalam masa yang singkat.

— BERNAMA