Cuaca sudah mula memburuk, hasrat Umno untuk adakan PRU-15 sebelum musim banjir sukar

Oleh BORHAN AHMAD

Cuaca buruk yang berlaku di seluruh negara sekarang amat membimbangkan jika kerajaan tetap meneruskan agenda untuk mengadakan pilihan raya umum ke 15 pada tahun ini ini.

Ekoran itu keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan dan Pas untuk tidak membubarkan Dewan Negeri masing-masing di alu-alukan oleh rakyat negara ini.

Tinjauan yang dibuat oleh Malaysia Dateline melalui perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu serta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang semalam mendapati hujan berlaku sepanjang perjalanan.

Hujan amat lebat berlaku di sempadan antara Pahang dengan Terengganu iaitu antara Kuantan di Pahang dan Kemaman di Terengganu.

Hujan sepanjang jalan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu semalam. Kadang-kadang saja hujan ini reda. Perjalanan yang biasanya mengambil masa antara empat hingga lima jam telah memakan masa hampir enam jam.

Hujan juga lebat di Melaka dan juga di Perak serta Pulau Pinang.

Bagi Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka, apa yang berlaku sekarang bukan lagi fenomena musim tengkujuh sahaja tetapi bercampur dengan fenomena perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia.

Ia pula berlaku di seluruh negara sekarang dan membimbangkan beliau yang sebelum ini terpaksa menguruskan bantuan untuk mangsa banjir di Melaka.

“Oleh itu, langkah kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan memberikan tumpuan kepada agenda membantu rakyat amat-amat dihargai,” kata beliau di program Jelajah Harapan Tolak BN PN di Bertam, Kepala Batas malam tadi.

Umno telah memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri agar menghadap Yang Dipertuan Agung memohin untuk membubarkan Parlimen segera.

Mereka berharap untuk mengadakan pilihan raya sebelum musim banjir yang dijangkakan berlaku pada penghujung tahun ini.

Namun dengan apa yang berlaku, banjir dijangka akan melanda negara tidak lama lagi ekoran hujan yang mencurah-curah di seluruh negara sekarang.

Pakatan Harapan telah membuat keputusan tidak akan membubarkan tiga negeri yang ditadbir mereka iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Pas kemudiannya telah membuat keputusan yang sama untuk tidak membubarkan negeri yang dikuasai mereka iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.