Malaysia Dateline

Cuba memahami tekad politik Pas

Senario pasca 9 Mei 2018, khususnya selepas mengharungi beberapa pilihan raya kecil, meyakinkan sesetengah orang bahawa seandainya Pas membentuk gandingan secara rasmi dengan Umnk dalam PRU14, maka Umno-Pas akan menubuhkan kerajaan persekutuan pada malam 9 Mei 2018.

Congakan ini dibuat berdasarkan undi popular yang diraih oleh Pas-Umno dalam PRU14. Dengan andaian perang tiga penjuru dielakkan, dan semua undi Pas dicurahkan kepada Umno-Barisan Nasional (begitu juga sebaliknya di kawasan Pas bertanding), maka 30 kerusi parlimen yang dimiliki Pakatan Harapan akan bertukar tangan. BN dan Pas akan meraih 127 kerusi parlimen, iaitu 15 kerusi lebih daripada majoriti mudah, menurut perhitungan Malaysiakini.
Jikalau itu keadaannya, mengapa Pas tidak bersanding dengan Umno sebelum PRU14?

Jawapannya kerana penolakan dari akar umbi. Penolakan ini bukan sekadar disebabkan Pas Kelantan enggan berkongsi kuasa dan sumber dengan Umno di negeri Darul Naim ini, atau tiada muafakat dicapai dalam pengagihan kerusi untuk dipertandingkan, tetapi juga disebabkan pegangan ideologi yang berbeza. Sentimen anti-Umno yang menyelubungi Pas agak tebal, malah belum tentu mampu dilunturkan seratus peratus hingga hari ini. Bahkan ada yang meramalkan, jikalau kerjasama Umno-Pas ini “dirasmikan” sebelum PRU14, ada kemungkinan Pas terkubur dalam PRU14.

Antaranya, kesan Amanat Hadi di kalangan anggota Pas yang begitu mendalam sejak tahun 1980-an. Bukan sahaja ahli Umno dikafirkan, bahkan hubungan masyarakat dirobekkan. Bukan sahaja ceramah politik dijalankan secara berasingan, malah solat, kenduri arwah, pengebumian dan sebagainya, diimamkan imam yang berasingan daripada Pas dan Umno.

Permusuhan itu begitu ketara, padahal ia hanya lahir daripada perbezaan politik. Apakah permusuhan ini harus ditamatkan? Ya, kerana perbezaan politik adalah sesuatu yang lumrah. Pesaing politik bukan semestinya musuh yang perlu didendam. Kita boleh berbeza pandangan dalam bab ini, tetapi bersetuju satu sama lain dalam bab yang lain, dan hubungan kita kekal terjalin.

Dalam konteks ini, pendamaian antara Pas dengan Umno harus diterima dengan hati terbuka. Ia mengambil tempoh berdekad-dekad untuk Pas memahami bahawa lawan dan kawan dalam politik boleh bertukar-tukar. Lawan pada hari ini boleh menjadi kawan pada hari esok. “Kafir” yang dilabel-labelkan itu cuma retorik untuk menyerang musuh politik.

Walau bagaimanapun, kematangan ini hanya tercapai seandainya dijelmakan secara menyeluruh. Tidak masuk akal seandainya Pas berdamai dengan Umno atas nama politik matang, tetapi pada masa yang sama melabel pemimpin parti AMANAH sebagai pengkhianat, jebon; DAP sebagai anti-Islam sebagainya. Ia cuma melanjutkan satu kitaran yang tiada penghujung. Akhirnya Pas hanya istiqamah dalam politik label-melabel – bergantung kepada siapa kawan dan lawannya.
Apapun, yang lebih menarik sepanjang proses ini, kita diperlihatkan tekad politik dan kehalusan pemimpin Pas untuk merancang ke arah persandingan politik ini. Tidak mudah, sesungguhnya perubahan yang paling sukar adalah pertukaran minda atau mentaliti masyarakat. Pas mengambil masa begitu lama untuk mengolah restu anggotanya, agar Umno diterima sebagai kawan.

Musuh direka, kononnya kedudukan Melayu-Muslim tergugat, lantas masyarakat Melayu-Muslim perlu bersatu untuk menentang non-muslim dan bukan Melayu. Jikalau perlu, pembohongan dilakukan, dan kemudian dihalalkan atas nama agama. Semua langkah ini disusun dengan begitu rapi, selangkah demi selangkah untuk melunturkan penentangan akar umbi Pas terhadap Umno – hatta perlu membayar harga yang cukup besar.

Jikalau dibandingkan, ia tidak lebih mudah daripada usaha mengolah restu ahli Pas untuk menyokong DAP pada zaman Pakatan Rakyat. Pas yang berdepan dengan serangan Umno ketika itu, mempertahankan DAP atas nilai politik keadilan, meraih kepelbagaian, demokrasi dan sebagainya. Pas ketika itu mengambil langkah yang berani untuk “menggempur Asabiyah”, dan hasilnya cukup lumayan.

Untuk kali pertama Pas diterima sebagai parti untuk semua (Pas for All ), dan Pas meraih sokongan daripada pengundi bukan Melayu-Islam pada kemuncaknya dalam PRU13 (5 Mei 2013). Pas menang di kerusi parlimen Kota Raja pada tahun 2013 melalui Dr.Siti Mariah dengan undi majoritinya kira-kira 30 ribu, di kawasan yang terdiri daripada 56% bukan Melayu, dengan menewaskan calon bukan Melayu dari MIC.

Ringkasnya, apapun keputusan Pas dalam menentukan sekutunya, adalah haknya yang perlu dihormati dalam kerangka demokrasi. Setiap langkah yang diambil, semestinya menerima penentangan. Sama ada bekerjasama dengan DAP, ataupun Umno, Pas terpaksa mengharungi rintangan yang terpampang di depan mata.

Cuma, akhirnya kita akan menilai sama ada usaha kita berbaloi atau tidak. Antara diserang kerana mempertahankan nilai politik keadilan, kesederhanaan, bersih dari rasuah, dengan diserang kerana mempertahankan politik perkauman, perasuah, mana yang lebih berbaloi?