Cubaan berhimpunan dihalang, tahap keselamatan dipertingkat

Cubaan berhimpunan dihalang, tahap keselamatan dipertingkat

Polis awal hari ini bertindak tegas untuk menyuraikan orang ramai yang cuba berhimpun di kawasan berhampiran kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dekat sini.

Anggota keselamatan yang berkawal di lokasi itu memastikan sebarang kekacauan tidak berlaku dengan menghalang beberapa kumpulan cuba mendekati rumah ibadat tersebut mulai 11.30 malam, Selasa.

Polis mengeluarkan beberapa amaran sebelum bertindak mengejar dan menahan beberapa lelaki yang enggan meninggalkan kawasan tersebut.

Suasana kembali tenang dan aman selepas polis mempertingkatkan keselamatan dengan menambah kekuatan anggota di sekitar kuil tersebut.

Lantaran tidak berkompromi soal ketenteraman awam apabila 1,400 anggota keselamatan termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), polis dan anggota trafik dikerahkan ke sekitar kawasan kuil malam ini.

Kuil berkenaan menjadi perhatian susulan kekecohan berlaku pada awal Isnin dan awal Selasa yang menyaksikan 23 kenderaan dibakar, bangunan dirosakkan dan anggota keselamatan serta penyelamat cedera akibat diserang dalam kekecohan itu.

Setakat semalam, 21 individu ditahan susulan kejadian itu yang disifatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berunsur jenayah dan bukan isu perkauman mahupun agama.

Susulan insiden kekecohan di tapak kuil serta kawasan sekitarnya tercetus awal Isnin sebelum berulang pada awal pagi ini, polis setakat ini menahan 21 lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam insiden ganas itu.

Loading...

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa bermain dengan kata-kata apabila menyifatkan rusuhan di kuil berkenaan mempunyai unsur jenayah dengan berjanji pelaku akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

Dalam kenyataan berhubung insiden di kuil itu, beliau menegaskan bahawa tiada elemen perkauman mahupun isu agama dalam kejadian itu tetapi sebaliknya ia berkaitan pemindahan kuil berkenaan.

Dr Mahathir juga memberitahu kepada media di Putrajaya malam ini bahawa orang luar mendalangi rusuhan di kuil berkenaan, Isnin lalu.

“Ini bukan tentang Melayu melawan orang India. Masalah ini ditimbulkan oleh orang yang datang dari tempat lain dan bukan oleh penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, menegaskan bahawa isu kuil itu adalah antara pemilik tapak kuil dengan pentadbir kuil dan ia tidak seharus dieksploitasikan oleh mana-mana pihak dan menjadikannya sebagai konflik perkauman.

Masyarakat India di negara ini, katanya, seharus bertenang dan bertindak rasional dalam menangani perkara itu kerana adalah sebilangan orang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk merumitkan lagi perkara tersebut dengan menghasut suatu pergolakan sosial.

Waytha Moorthy, yang memegang portfolio perpaduan, juga berkata kuil itu tidak akan dirobohkan sehingga penyelesaian dicapai.

Beliau adalah antara beberapa pemimpin yang melawat kawasan rusuhan itu yang menyaksikan 23 kenderaan dibakar, sebuah kereta Jabatan Bomba dan Penyelamat dirosakkan dan seorang anggota bomba cedera parah akibat diserang perusuh, sementara sekumpulan perusuh lain memecahkan panel kaca sebuah bangunan di mana pejabat pemaju yang memiliki tanah di mana terletaknya kuil berkenaan.

Anggota bomba yang cedera ialah Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang bertugas dengan Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam insiden awam pagi itu, Muhammad Adib, berasal dari Kedah, dipercayai telah diserang oleh perusuh semasa menjalankan operasi memadamkan kebakaran pada beberapa kenderaan di halaman kuil itu.

Beliau pada awalnya menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) lewat malam ini..

Anggota bomba berkenaan, yang mengalami beberapa kecederaan termasuk patah beberapa tulang rusuk, menerima rangkaian pelawat di hospital berkenaan termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Selain itu, turut turut melawat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Waytha Moorthy, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sementara itu, Gobind menasihati pengguna media sosial supaya mengawal perasaan apabila memberi komen berhubung insiden di kuil itu.

Beliau juga mengingatkan petugas media supaya menjaga keselesaan keluarga mangsa dan menghormati privasi mereka, serta lebih berwaspada ketika menjalankan tugas masing-masing.

Pada 31 Okt, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin, Selangor, V. Ganabatirau berkata, empat pihak menerusi penghakiman luar mahkamah pada 11 Mac 2014 bersetuju dengan pemindahan kuil itu dan mengembalikan tapak kuil kepada tuan punya berkenaan.

Empat pihak itu ialah kerajaan negeri, tuan punya tanah kuil One City Development Sdn Bhd dan dua individu yang mendakwa menjadi pentadbir kuil K. Chellappa dan M. Nagaraju, katanya.

Chellappa memfail bantahan terhadap tindakan One City untuk mengambil semula tapak kuil itu pada 1996.

Ganabatirau berkata dalam keputusan luar mahkamah itu, One City bersetuju memberi deposit RM1.5 juta kepada kuil itu, dan difahamkan wang itu telah didepositkan kepada peguam kuil.

Kerajaan negeri menyerahkan lot tanah 0.4-hektar, yang terletak pada jarak tiga kilometer untuk menempatkan semula kuil berkenaan.-BERNAMA.