Malaysia Dateline

Cubaan bunuh diri dianggap jenayah perlu dihapuskan

Gejala sakit mental seperti cubaan membunuh diri masih dianggap sebagai satu jenayah di dalam negara ini perlu dihapuskan.

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan berkata, usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri dengan pindaan/pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah, mesti dilaksanakan.

Pengerusinya Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata Sempena Hari Kesihatan Mental sedunia Pakatan Harapan percaya bahawa pendekatan holistik membabitkan semua pihak mesti diambil kira kerajaan bagi menghadapi cabaran kesihatan mental di kegara kita.

“Kami mendesak agar pihak Kerajaan Malaysia melalui kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan Kesihatan Mental merangkumi semua aspek pencegahan dan perawatan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental rakyat Malaysia.

“Pelan Integrasi ini haruslah melibatkan semua yang terbabit dari pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan dan diberi peruntukan yang munasabah untuk kesejahteraan dan kesihatan mental awam mengikut piawaian antarabangsa,”kata beliau.

Menurutnya, Gabungan Kesejahteraan Mental Kebangsaan yang dimulakan oleh badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan golongan profesional adalah satu usaha yang yang terpuji yang harus disokong oleh semua kementerian dan agensi-agensi kebangsaan dalam menangani agenda kesihatan mental.

“Setiap daripada kita juga mestilah meningkatkan keprihatinan dan empati kepada orang yang tersayang di sekeliling kita dengan memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan di saat sukar ini,” katanya.

Semalam adalah Hari Kesihatan Mental Sedunia. Di peringkat global temanya adalah Mental Health In an Unequal World, Kesihatan Mental dalam dunia yang tidak seimbang.

Namun dianggarkan satu dalam tiga atau tepatnya 29.2% dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 menunjukkan Rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah gangguan mental.

Hampir setengah juta rakyat di negara didapati mengalami simptom tekanan atau depresi, menurut tinjauan serupa pada tahun 2019.

Pandemik Covid19 dan krisis sosio ekonomi yang muncul selepasnya menjadikan keadaan kesihatan mental negara semakin bertambah parah.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Perubahan Tingkah Laku Malaysia (IPTK) pada tahun 2020 mendapati bahawa 14.2 peratus petugas barisan hadapan KKM mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk (severe mental disorders).

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) merekodkan lebih daripada dua kali ganda pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan tekanan perasaan sepanjang tahun 2020 dibandingkan pada tahun 2019.

Talian Bantuan Psikososial KKM juga merekodkan 223 990 panggilan dengan 80.8 peratus memerlukan bantuan sokongan emosi dan kaunseling.

Begitu dilaporkan Timbalan Menteri Kesihatan di Dewan Negara baru-baru ini kemuncak kepada tekanan mental apabila ada yang bertindak di luar kawalan meragut nyawa sendiri.

Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak.

Purata sehari Malaysia kehilangan tiga nyawa akibat bunuh diri.