Malaysia Dateline

Husam Musa

Cubaan ceroboh gereja, Husam kecam aksi rasis

Ajaran Islam yang menolak pencerobohan tempat ibadat agama lain dan tradisi keharmonian di Kelantan sepatutnya  kejadian seperti ini tidak berlaku.

Demikian ulasan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa terhadap tindakan melontar batu kepada gereja Methodist Jalan Hamzah dua hari lalu.

Pada Isnin, beliau melawat gereja berhampiran kompleks KB Mall tempat kejadian orang lempar batu merosakkan tempat ibadat itu.

“Saya datang untuk menyatakan solidariti orang Islam bencikan keganasan hatta ke atas rumah ibadat agama lain,” katanya.

Menurut pastor yang menyelia gereja itu, Goo Siew Lai, beliau sempat melihat tindakan seorang lelaki yang cuba merosakkan gereja itu.

“Saya secara kebetulan berada di sini ketika itu dan bila kereta yang mencurigakan masuk dan berhenti di hadapan saya memerhati apa yang cuba dilakukan.

“Lelaki keluar dari kereta dan kelihatan memungut anak batu kemudian bailk ke kereta.

“Beberapa ketul batu dilontar dan satu bahan meletup di bahagian cermin atas dekat tempat saya duduk.”

Pastor Goo Siew Lai (kanan) menunjukkan longgokan kaca akibat tindakan penceroboh ketika lawatan Datuk Husam Musa di kawasan gereja terbabit.

Peristiwa itu katanya berlaku begitu cepat dan menghubungi kawan untuk mendapatkan pertolongan, penceroboh telah menghilangkan diri.

“Kami telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan,” katanya.

Datuk Husam mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama supaya pelaku jenayah  segera diberkas.

“Kalau ini dilakukan orang Islam dia telah melakukan kesalahan besar dari segi agama.

“Kita tidak boleh menolak bila dah dekat dengan pilihan raya ni ada pihak tertentu yang cuba mainkan isu perkauman dan sentimen permusuhan agama,” katanya.