Malaysia Dateline

Cubaan naikkan pewaris kerajaan gagal PN jadi PM adalah kegilaan paling gila

Di mata rakyat, Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan yang gagal.

Sejak 17 bulan lalu, boleh dikatakan tidak ada sektor yang berkembang dengan baik di bawah kerajaan PN, kecuali kes Covid-19 dan jumlah kematian akibat daripada wabak tersebut yang sentiasa menunjukkan graf menaik.

Kegagalan itu sudah tentu disebabkan kerajaan PN dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin yang tidak begitu berkemampuan mengurus negara, terutama ketika negara berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

Kegagalan PN itu diburukkan lagi kerana menteri-menteri yang dilantik Mahiaddin turut tidak berkemampuan sehingga menjadi bahan kecaman dan troll netizen hampir setiap masa.

Apabila Mahiaddin akhirnya meletak jawatan, tidak sedikit rakyat yang gembira dan menjadi lapang dada.

Khabarnya ramai yang akan bersedekah pisang, rambutan, manggis atau epal di masjid-masjid pada Jumaat ini.

Mereka gembira bukan saja kerana Mahiaddin sudah tiada, tetapi juga disebabkan tidak perlu lagi mendengar cakap entah apa-apa daripada beberapa menteri yang sebenarnya kalau mereka tiada, jauh lebih aman lagi negara ini.

Tidak masuk akal

Jatuhnya Mahiaddin, selain kerana beliau menyedari tiada lagi sokongan majoriti di belakangnya, ia juga disebabkan itulah keinginan rakyat setiap hari.

Rakyat tidak mahu lagi kepada Mahiaddin dan tidak mahu juga menteri-menteri yang ada ini terus duduk di kerusi mereka kerana sudah cukup terseksa dan sengsara dengan kepimpinan mereka.

Sebab itu, adalah tidak masuk akal adanya cubaan untuk mencalonkan sesiapa daripada kalangan bekas menteri PN sebagai sebagai calon Perdana Menteri seterusnya sebaik saja Mahiaddin sah meletakkan jawatannya ini.

Jatuhnya Mahiaddin bermakna rakyat mahukan perubahan dan perlukan sebuah kerajaan baru untuk mentadbir negara ini.

Baik Ismail Sabri Yaakob atau sesiapa juga, asalkan daripada kerajaan PN, mereka adalah pewaris kerajaan gagal yang dibenci, dikecam dan tidak dikehendaki rakyat dan tidak seharusnya dicalonkan lagi untuk menerajui negara.

Mencalonkan lagi mereka untuk menerajui negara ini adalah suatu penghinaan kepada rakyat.

Kalau mahu dikekalkan lagi kerajaan PN ini, baik dikekalkan saja Mahiaddin tetapi oleh kerana Mahiaddin pun tidak dikehendaki, ertinya Ismail Sabri dan semua yang lain juga turut tidak layak dan tidak dikehendaki.

Tidak malukah pewaris-pewaris kerajaan gagal PN ini kepada rakyat yang telah menolak dan membenci mereka selama ini?

Setelah ditolak rakyat, duduk diam-diam jadi pembangkang saja sudahlah!

Lebih tidak masuk akal, sebagaimana dilaporkan media, Mahiaddin sendiri tidak menolak kemungkinan beliau akan kembali menyertai persaingan untuk dipilih semua sebagai Perdana Menteri yang seterusnya.

Kegilaan apakah ini?

Kadang-kadang betul juga kata orang-orang yang berpengalaman dalam politik – gila orang politik adalah gila paling gila di dunia ini.