Seorang individu meluahkan rasa sedih melihat bagaimana neneknya dipinggirkan anak-anak sendiri hanya kerana meluahkan hasrat untuk berkahwin baru.
Individu yang tidak mendedahkan identitinya itu berkata, dia sebagai cucu sedih melihat bagaimana pakcik dan makcik termasuk bapanya sendiri memulaukan neneknya dan tidak menjenguk wanita tua itu walaupun pada hari raya.
Katanya, datuk sudah pun meninggal tiga tahun lalu dan kerana itu neneknya mahu berkahwin lain tetapi dihalang oleh ahli keluarga yang lain.
“Arwah atuk meninggal 3 tahun lepas. Nenek buat keputusan nak kahwin baru. Anak-anak semua tak setuju. Selepas itu semua pakat palau nenek.
“Orang tua tu pergi check up klinik kesihatan naik teksi kau bayangkan. Ini raya anak dia tak jenguk pun.
“Ayah aku antara anak yang tak setuju. Sejak nenek nekad nak kahwin, ayah aku asyik marah nenek je. Semua benda tak puas hati padahal sebelum ini dia paling bergantung dekat nenek. Kira anak mak.
“Tahun ni raya pakcik makcik semua tak balik. Tak berkumpul sebab kes nenek nak kahwin,” kata individu itu.
Menurutnya, dia dan cucu-cucu yang lain amat menyokong perkahwinan baru neneknya kerana sekurang-kurangnya ada yang menjaga neneknya itu.
Dia juga menyebut bahawa pakcik dan makciknya selama ini banyak meminjam duit dari nenek.
“Kita orang sebagai cucu setuju je nenek kahwin sebab sekurang-kurangnya ada orang jaga. Dah anak dia semua abaikan dia.
“Kerja nak pinjam duit je tapi biarkan nenek duduk seorang je dekat rumah tak ada siapa tunggu. Kita orang sebagai cucu sedih raya tahun ini sebab tak berkumpul,” luahnya lagi.
Perkongsian di platform X itu mendapat perhatian ramai dan diulang kongsi sehingga ke Facebook.
Baca juga: “Rapat sangat dengan mentua sampai janin aku gugur”