Malaysia Dateline

Cucuk vaksin ‘walk-in’ untuk yang tercicir, tiada dokumen diri

Bukan untuk semua penduduk Selangor dan Kuala Lumpur tetapi khas untuk golongan tercicir dan belum mendapat janji temu masing-masing selepas 17 Julai.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini tampil memberi penjelasan susulan inisiatif suntikan vaksin Covid-19 tanpa janji temu (walk-in) yang diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, 16 Julai lalu.

Menurut CITF, inisiatif itu bukan untuk orang ramai yang diberikan janji temu masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin dan golongan tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan.

“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang sudah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.

“Individu yang belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” kata CITF dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular mesej yang mendakwa bermula 1 Ogos ini, semua penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang berusia 18 tahun ke atas dan belum mendapat suntikan vaksin, boleh pergi ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tanpa perlu mempunyai janji temu untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Mesej ‘berantai’ melalui aplikasi WhatsApp itu turut menyenaraikan 50 PPV serta jenis vaksin disediakan di pusat terbabit.

Pada 16 Julai lalu, Khairy dilaporkan berkata, mereka yang maklumat diri tidak ada dalam sistem Jabatan Perangkaan, tetapi menetap di Selangor dan Kuala Lumpur, boleh mendapatkan imunisasi tanpa janji temu di semua PPV di negeri itu.

Ia termasuk mereka yang ketinggalan mendapatkan vaksin melalui PICK termasuk individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan dan perjalanan.

Khairy pada sidang media khas CITF secara maya itu berkata, inisiatif tersebut yang dilaksanakan selepas operasi lonjakan kapasiti bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada mereka yang mendaftar sebelum ini, dijangka bermula pada 1 Ogos nanti.

Sementara itu, CITF berkata, PPV yang akan beroperasi untuk tujuan ‘walk-in’ pada Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak, manakala PPV sedia ada tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif itu.

Sehubungan itu, CITF meminta mereka yang sudah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV diberikan.

“Ini mengambil kira kemunculan varian baharu yang lebih ganas, kes Covid-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin,” kata CITF lagi.