Malaysia Dateline

Cuepacs cadang bawa 3,000 ahli ke Putrajaya sekiranya kerajaan mansuh BIPK

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memutuskan akan mengumpulkan seramai 3,000 ahlinya ke Putrajaya sekiranya kerajaan terus berhasrat memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi 33 skim perkhidmatan bagi penjawat awam.

Adnan Mat

Presidennya, Adnan Mat, mendesak agar kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan rundingan segera bersama pihaknya biarpun keputusan mengenai insentif berkenaan akan diputuskan dalam Kabinet Rabu depan.

“Kita tahu Kabinet akan memutuskan hala tuju BIPK Rabu ini. Tapi kita juga mahu memaklumkan pada mereka tentang bantahan kami, agar JPA dan kerajaan mengambil maklum isu tersebut dan melakukan rundingan sebelum ianya di bawa kepada kerajaan.

“Jika JPA gagal menguruskan pertemuan ini, kami (Cuepacs)  sudah bincangkan tadi, kami akan bawa ahli kami seramai 3,000 orang untuk berjumpa serentak.

“Ini bukan mogok, tapi ini perjumpaan secara beramai-ramai dengan JPA di Putrajaya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama Ahli Majlis Senator di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, pada Disember, Adnan telah menghantar permohonan kepada JPA bagi mengadakan pertemuan dan perbincangan berhubung perkara itu.

Datuk  Seri Khairuddin Samad

Namun, pada 3 Januari , Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman menyatakan pihaknya akan menunggu keputusan dari kabinet berhubung hala tuju BIPK.

Malah, Mohd Khairul turut berkata, pihaknya telah mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum membuat sebarang keputusan biarpun dikatakan tiada penglibatan pemegang taruh dalam sesi perbincangan sebelum keputusan dibuat.

Sementara itu, pertemuan bersama Majlis Senator Malaysia (MSM) hari ini mencapai kata sepakat apabila Presidennya, Datuk Seri Khairudin Samad memberi jaminan untuk menjadi penghubung antara JPA dan Cuepacs bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Kita berstuju membantu Cuepacs dan bertindak sebagai jambatan kepada mereka untuk menyuarakan isu ini pada kerajaan dan juga membantu pertemuan dengan JPA.

“Saya minta duduk bersama dan berunding, baru selesai masalah,” ujarnya.