Malaysia Dateline

Cuepacs dipuji rasional buat tuntutan pada kerajaan

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang disifatkannya rasional dalam membuat tuntutan kepada kerajaan disebalik keutamaan kesatuan itu mempertahankan hak penjawat awam.

Mahfuz turut menyentuh tentang usaha Cuepacs yang berjaya menjadi perantara bagi memastikan keharmonian hubungan antara kerajaan dan pekerja perkhidmatan awam.

Cuepacs yang diiktiraf sebagai wakil tunggal dalam sektor awam itu juga, dipuji dengan ketegasannya dalam merundingkan hal-hal kebajikan anggota perkhidmatan awam.

“Kita sedia maklum, Cuepacs sentiasa merundingkan hal hal kebajikan anggota perkhidmatan awam seperti gaji, skim perkhidmatan dan kemudahan yang lain.

“Selaras dengan status tersebut, saya sangat berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh kepimpinan Cuepacs sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menjalinkan hubungan harmoni dengan kerajaan melalui konsep hubungan pekerja perkhidmatan awam.

“Sokongan dan sikap keperihatinan Cuepacs terhadap kerajaan dengan tidak membuat tuntutan yang keterlaluan, amat dihargai,” katanya pada Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menekankan, apa yang penting adalah untuk memahami kedua-dua belah pihak antara tuntutan pekerja dan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan tuntutan yang dilontarkan.

“Untuk buat tuntutan, itu memang realiti bagi kesatuan-kesatuan sekerja. Kalau kesatuan sekerja tak lantang dalam tuntutan dia, itu satu yang pelik. Bagi saya kelantangan kesatuan sekerja adalah perkara biasa.

“Tetapi apa yang paling penting adalah memahami kedua-dua belah pihak. Kerajaan sangat terbuka bagi sebarang perundingan bagi kita melihat masa depan negara kita.

“Sudah tentulah kerajaan sebagai orang tengah, harus mencari jalan penyelesaian kepada bagaimana kita nak bina sebuah negara yang lebih maju ke hadapan dengan bukan hanya memberikan manfaat kepada golongan yang sedang bekerja, tetapi orang lain yang akan memasuki alam pekerjaan,” ujarnya.