Malaysia Dateline

Cuepacs gesa agih alatan cegah jangkitan kepada petugas di pintu masuk negara

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang memeriksa warga asing khususnya dari China di setiap pintu masuk negara, segera dibekalkan peralatan pencegahan bagi mengelak sebarang jangkitan coronavirus.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat, berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyegerakan perbekalan kelengkapan pencegahan bagi kegunaan anggota yang bertugas di pintu-pintu masuk sama ada di pintu laut, darat dan udara.

Menurutnya, langkah tersebut harus diambil dari awal bagi memastikan tahap kesihatan setiap pegawai dan anggota penguat kuasa terjamin sekali gus terhindar dari wabak maut itu.

“Pegawai dan anggota penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan seperti anggota imigresen, kastam dan agensi awam lain yang berhadapan dengan pelancong dari China, perlu dibekalkan dengan peralatan pencegahan bagi menjamin kesihatan mereka dari dijangkiti virus berkenaan.

“Pada masa ini, kami mendapati setiap jabatan dan agensi kerajaan masih belum mempunyai sebarang perancangan dalam pengagihan topeng (Mask N95), sarung tangan dan sanitizer untuk anggota penguat kuasa mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kerajaan juga perlu membuat penerangan lengkap dengan kadar segera mengenai virus tersebut dan serta status jangkitan bagi memberi lebih pengetahuan kepada anggota agensi keselamatan yang melakukan pemeriksaan.