Malaysia Dateline

CUEPACS gesa beri rakyat cuti umum khas sehari sebelum hari pengundian

Kerajaan digesa untuk memberi cuti umum khas pada 18 November ini, sehari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memudahkan seluruh rakyat Malaysia mempunyai tempoh masa yang cukup pulang ke kampung bagi membuang undi.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia yang mengundi bukan di lokasi mereka bekerja dan tinggal.

Beliau juga yakin ia tidak menjadi halangan kerana kerajaan pernah memberi cuti tambahan dua hari selepas PRU14 lalu.

“Walaupun tarikh hari mengundi pada hari Sabtu dan kebanyakannya tidak bekerja, namun cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai yang mengundi bukan di lokasi mereka bekerja. Ada yang perlu melakukan perjalanan lebih daripada 4 jam pulang ke kampung.

“Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan yang terhad mungkin menyukarkan mereka untuk pulang pada hari mengundi apatah lagi bagi mereka yang tinggal di pedalaman yang memerlukan perjalanan tambahan serta memakan masa panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS bimbang ada majikan yang tidak membenarkan pekerja memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi, walaupun setiap pekerja mempunyai cuti tahunan dan layak mengambilnya.

Katanya, pemberian cuti umum khas ini sudah pasti boleh mengelakkan perkara sedemikian berlaku, apatah lagi PRU hanya diadakan lima tahun sekali.

Pada masa sama, CUEPACS berharap semua syarikat penerbangan tidak menaikkan harga tiket pada tarikh sebelum hari mengundi, hari membuang undi dan selepas pilihan raya bagi meringankan beban kewangan rakyat.

“Pilihan raya umum bagi menentukan kerajaan ini berlaku hanya lima tahun sekali dan adalah tidak wajar untuk syarikat penerbangan mengambil kesempatan.

“CUEPACS berharap pihak berkuasa dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan perkara ini berlaku,” katanya.

Baca juga: [Vid] ‘Legend’ dah turun! Netizen kagum tengok skill makcik ni main boling

Baca juga: Netizen imbau semula pengorbanan bapa redah laut larikan 2 anak demi akidah mereka