Malaysia Dateline

Cuepacs harap kerajaan peruntuk bina rumah mampu milik untuk penjawat awam

 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan supaya memperuntukan pembinaan rumah mampu milik untuk dibeli penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan pembinaan perumahan berharga antara RM90,000 hingga RM150,000 dan disasarkan kepada penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas keprihatinan mewujudkan perumahan kepada rakyat dan membantu kakitangan kerajaan memilik rumah sendiri.

“Bagaimanapun, sebahagian besar penjawat awam tidak mampu membeli rumah disebabkan baki gaji yang ada, tidak melayakkan mereka membuat sebarang pinjaman berkaitan perumahan,” katanya dalam sidang media di Wisma Cuepacs, hari ini.

Sementara itu, Azih turut berharap pihak kerajaan dapat menimbangkan pemberian sebulan bonus kepada penjawat awam pada tahun hadapan.

Beliau berkata, pemberian bonus itu adalah harapan daripada seluruh penjawat awam setelah lebih empat tahun kerajaan hanya memberi bantuan khas kewangan.

“Pemberian bonus amat penting kepada penjawat awam dan ianya hendaklah diberikan dalam perkataan ‘bonus’ dan bukannya bantuan khas kewangan.

“Bagaimanapun, kami (Cuepacs) merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat dan kerajaan atas pertimbangan dan pemberian bantuan khas kewangan setiap kali menjelang perayaan dan permulaan sesi persekolahan,” katanya lagi.

Analisa yang dijalankan pihak Cuepacs mendapati sebahagian daripada penjawat awam masih lagi berada di bawah garis kemisikinan dan memerlukan sokongan kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup dan kebajikan.