Malaysia Dateline

Cuepacs minta KPM perjelas isu 1,084 pembantu tadbir sekolah dihentikan elaun

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pihak Kementerian Pendidikan (KPM) memberi penjelasan berhubung isu Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi di Perak yang tidak mendapat elaun bulanan.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, kesemua pembantu tadbir di sekolah itu tidak mendapat Elaun Bantuan Insentif Kewangan (BTIK) bermula bulan ini yang berjumlah RM40.

“Saya fikir ini tidak adil kepada mereka-mereka yang telah berkhidmat dan saya ingat kalau ini caranya, maka tak perlu uruskan kewangan lah bermakna pembantu tadbir tidak perlu uruskan kewangan.

Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Cuepecs di Padang Merbok, hari ini.

“Kalau inilah caranya, maka saya akan minta pembantu-pembantu tadbir yang berada di bawah KPM supaya menghentikan kerja-kerja kewangan.

“Kami meminta pihak KPM memberi penjelasan sewajarnya mengapa tindakan tergesa-gesa ini diambil. Kita harap supaya pembantu-pembantu tadbir yang terlibat itu, layak menerima semula elaun tersebut.

“Penamatan elaun tanpa sebarang notis pada saat ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kita, kerana ia menjadi satu isu kepada mereka yang telah menyumbangkan kerja,” katanya pada sidang media di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-62 di Padang Merbok, hari ini.

Sambutan ulang tahun itu dimeriahkan dengan kira-kira 800 ahli Cuepacs daripada 128 kesatuan yang turut dihadiri Mantan Presiden Cuepacs, Datuk N Siva Subramaniam dan Datuk Omar Osman.

Dalam perkembangan sama, Azih berkata pihaknya turut merancang untuk meminta supaya Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) (Keptan) menguruskan satu perjumpaan bersama mereka yang terlibat dalam isu ini.

“Mereka yang terlibat adalah ahli-ahli kami. Elaun mereka berjumlah RM40 sebulan dihentikan pada bulan ini tanpa sebarang notis diberikan kepada mereka,” katanya lagi.