Malaysia Dateline

Cuepacs nasihat penjawat awam dapatkan vaksin

Tindakan yang diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewajibkan semua penjawat awam mendapatkan vaksin bukanlah untuk menghukum kerana sebelum ini sudah banyak ruang dan peluang diberikan ketika pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, justeru penjawat awam perlu akur dengan langkah yang diambil kerana ia bertujuan memulihkan negara yang terkesan daripada sudut ekonomi dan sosial.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu akur dengan arahan ini memandangkan penjawat awam adalah jentera pentadbiran kerajaan yang menjadi pelaksana dan mendukung segala dasar kerajaan.

“Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993. Kita adalah pekerja yang menerima arahan kerajaan dan melaksanakan dasar kerajaan bagi mengurus semua perkara berkaitan degan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam ini mampu memberikan keyakinan dan jaminan seterusnya melancarkan urusan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” lapor BH.

Terdahulu, JPA dalam satu kenyataannya memaklumkan penjawat awam diwajibkan mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

JPA berkata setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

Katanya, sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Adnan meminta supaya ketua jabatan mengambil maklum arahan terbaharu yang dikeluarkan oleh JPA serta memaklumkan mengenainya kepada kakitangan yang masih belum divaksin.

Beliau turut memaklumkan, tempoh yang diberikan oleh JPA untuk penjawat awam mendapatkan pelalian berkenaan adalah munasabah dan mereka boleh berbuat demikian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang masih dibuka.