Malaysia Dateline

Cuepacs rayu kerajaan tidak gabung UMT, UniSZA

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjangkakan tidak semua tenaga pengajar dan kakitangan akan diambil bekerja apabila hasrat penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi kenyataan.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, dengan kenaikan kos sara hidup pada ketika ini, bagaimana dengan nasib mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Pelajar juga tidak setuju dengan hasrat tersebut kerana ia tidak bertetapan dengan dasar pendidikan negara untuk menyediakan kemudahan terbaik.

“Justeru itu, kami berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi menyerahkan memorandum bantahan mengenai perkara itu,” katanya dalam sidang media, di Wisma Cuepacs, hari ini.

Dalam pada itu, Azih turut menyifatkan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai pengampu selepas bersetuju dengan penggabungan dua institusi terbabit.

Datuk Azih Muda

Katanya, persetujuan dua Naib Canselor itu hanya dibuat kerana terpaksa dan takut kehilangan jawatan ekoran persetujuan dibuat dengan cepat tanpa mengambil kira pandangan serta sensitiviti rakyat.

Dalam kenyataan bersama Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di Kuala Terengganu, sebelum ini, kedua-dua universiti bersetuju secara prinsip dengan penggabungan itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.

Dalam perkembangan berbeza, Azih berkata, kerajaan turut digesa membatalkan hasrat untuk menamatkan 19 Institut Latihan Kementerian Kesihatan yang kini dilaksanakan secara berperingkat sehingga menjelang tahun 2021.

“Cuepacs membantah sekeras-kerasnya berhubung isu terbabit dan kami rayu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad supaya mengkaji semula cadangan penutupan institut berkenaan demi kebajikan kakitangan dan pekerja di bawah KKM.

“Setakat ini sembilan institut terbabit telah ditutup di beberapa negeri sehingga menyebabkan 375 kakitangan awam ditukar ke merata tempat.

“Padahal sebelum penutupan itu, kami difahamkan mereka akan dihantar berdekatan, tapi dipindahkan ke negeri-negeri lain pula, iaitu bukan dalam negeri yang sama. Kalau dalam negeri sama pun, ianya jauh tak masuk akal,” katanya lagi.