Malaysia Dateline

Cuepacs Sarawak akur arahan JPA wajibkan suntikan vaksin

Cuepacs Negeri Sarawak (CNS) akur dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewajibkan Penjawat Awam (PA) Persekutuan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Cuepacs Sarawak, Omar Bahrein Unin berkata, langkah berkenaan adalah bagi kebaikan bersama dalam usaha kerajaan menangani penularan pandemik di kalangan rakan sekerja.

“Kita menyokong arahan JPA dan berharap segala tindakan yang akan diambil kepada penjawat awam yang masih tidak mendaftar untuk mendapat vaksin hendaklah dibuat dengan pertimbangan sewajarnya secara toleransi.

” Malah, kita juga mengenal pasti masalah sebenar mengapa mereka tidak mahu menerima vaksin dan lain-lain alasan yang munasabah,” tegas beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Omar menegaskan, tindakan tatatertib yang mungkin akan diambil kepada penjawat awam seperti dinyatakan pihak JPA adalah tertakluk kepada peraturan semasa.

” Kita turut akur kerana setiap penjawat awam memang tertakluk kepada peraturan semasa perkhidmatan awam namun CNS berharap tindakan tatatertib ini bukanlah berat memandangkan isu ini merupakan perkara baharu dakam perkhidmatan awam dan bukannya kesalahan yang melibatkan jenayah,”soal beliau.

Sehubungan itu, katanya lagi Cuepacs negeri Sarawak amat menggalakkan penjawat awam di negeri ini untuk mengambil suntikan vaksin demi keselamatan serta kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.