Cukai baharu tidak akan bebankan rakyat, kata Amiruddin

Cukai baharu tidak akan bebankan rakyat, kata Amiruddin

Kementerian Kewangan hari ini mengesahkan satu cukai baharu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sesi pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen, esok.

Timbalan Menterinya, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, ia adalah sejenis cukai yang berbeza, namun cukai baharu itu tidak akan membebankan rakyat.

Sebaliknya, kata Amiruddin, kutipan tersebut akan digunakan kembali bagi tujuan kepentingan rakyat serta mengurangkan beban untuk membayar balik hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya ingat apapun kita biar Menteri Kewangan bentang mengenai cukai itu esok.

“Apa yang penting, hasil kutipan cukai itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi kerajaan; memastikan agenda pembangunan diteruskan; merapatkan jurang pembangunan luar bandar dan bandar serta menyelesaikan hutang kerajaan,” dipetik dari Berita Harian.

Pemimpin Bersatu berkenaan berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Akauntan Negara Dr Yaacob Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah.