Cukai perkhidmatan atas talian, peruntukan Kementerian Pendidikan terima reaksi positif

Cukai perkhidmatan atas talian, peruntukan Kementerian Pendidikan terima reaksi positif

Rata-rata warga maya dilihat teruja dengan Belanjawan 2019 pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.

Pengguna Facebook, Aishah Afandi berpendapat belanjawan yang turut memperkenalkan cukai bagi minuman bergula itu secara keseluruhannya adalah baik.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak yang tertekan dengan pelaksanaan cukai bagi perkhidmatan atas talian dari luar negara termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital supaya bertenang.

“Kalau mampu minum Starbucks, telefon edisi terkini, apalah sangatkan lebih RM40 atau RM20 untuk melancong ke negara idaman anda?” dipetik dari Facebooknya.

Untuk rekod, Guan Eng mengumumkan pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan penstriman muzik dan video serta platform perdagangan elektronik syarikat antarabangsa.

Ini secara tidak langsung termasuk perkhidmatan penstriman seperti Netflix, Spotify dan Steam selain medium e-dagang seperti Alibaba.

Cukai yang dijangka bermula pada 1 Januari 2020 itu, menurut Guan Eng, sebagai langkah percubaan untuk mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai atas talian terutama yang dimiliki oleh syarikat luar negeri.

Aishah turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan PH kerana memberi penekanan kepada Revolusi Industri 4.0, pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan.

Sementara itu, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq berpendapat himpunan aman membantah kadar gaji minimum RM1,050 di Parlimen baru-baru ini membuahkan hasil.

“Akhirnya gaji minimum yang asalnya disebut hanya naik RM50 kini naik RM100. Walaupun masih rendah dan sama kadar kenaikan dengan kerajaan BN dahulu (kalau dia naik 50 sahaja lebih teruk dari kerajaan dulu), namun sedari atau tidak, ia sukar untuk dikecapi jika pekerja, siswa, aktivis tidak bangkit melawan dan berdemo di Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada kelompok yang sedia menongkah arus walaupun berdepan kecaman daripada pihak tertentu yang dianggapnya tidak memahami isu sebenar berkaitan hak pekerja.

“Ini menunjukkan tekanan dapat memberikan hasil. Jika hasil dirasakan sedikit maka tugas kitalah untuk memperkuat lagi tekanan, merapatkan lagi saf antara para angkatan perjuangan, fokus pada persamaan melebihi perbezaan antara kumpulan-kumpulan kita,” ujarnya.

Pada masa sama, Nik Aziz turut menghargai pendirian beberapa pemimpin PH yang tetap berpegang pada prinsip dan berani memperjuangkan isu gaji minimum.

“Walhal, mereka terpaksa berbeza dengan rakan-rakan sehaluan seperti YB Hasan Karim dari PKR, YB Aiman Athirah dari AMANAH, YB Charles Santiago dari DAP dan lain-lain lagi yang bersuara,” ujarnya lagi.

Peruntukan terbesar Belanjawan 2019 kepada sektor pendidikan termasuk institusi pondok juga dilihat menerima sambutan baik dalam kalangan orang ramai.

“Banyaklah yang boleh dikupas selepas ini dan sudah semestinya tumpuan kepada pembangunan, kebajikan rakyat dan peluang yang bakal wujud dengan usaha kerajaan sekarang berdasarkan belanjawan yang diperuntukkan.

“Sudah semestinya akana ada kritikan di sana sini, dan itu semua perkembangan sihat yang bakal dikutip untuk kerajaan memperbaiki diri mereka,” kata Ibrahim Mat Isa.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan paling tinggi iaitu RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan kerajaan tahun hadapan.

Ibrahim juga menyifatkan langkah kerajaan PH menghapuskan kutipan tol kepada penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan laluan kedua sebagai paling menarik.

“Pemilik motor yang ulang-alik kerja setiap hari sudah tentu berasa syukur dan tidak silap memilih kerajaan baharu,” tambahnya lagi.

Belanjawan 2019 bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” yang tidak menyentuh tentang bantuan pembelian buku seperti kerajaan terdahulu pula menarik pihak industri buku.

Antaranya, Pengurus Cawangan Pelita Dhihin, Ahmad Saifuddin Amran yang berpendapat industri buku akan mendapat manfaat daripada peningkatan peruntukan untuk sekolah-sekolah.

Walau bagaimanapun, beliau menganggap itu hanya akan dapat dicapai jika pihak sekolah berhasrat untuk meningkatkan koleksi bahan bacaan di perpustakaan mereka.

“Sebaliknya, kalau sekolah hendak gunakan peruntukan itu untuk mempertingkatkan infrastruktur pembelajaran secara elektronik, gigit jari sajalah,” dipetik dari Facebook beliau.

COMMENTS