Malaysia Dateline

Cukup-cukuplah guna isu perkauman untuk politik, kata Tun M

Gabungan Pas dan UMNO yang kononnya memperjuangkan dan mempertahankan Melayu dan Islam dilihat tidak lain hanya ingin mempertahankan perompak-perompak Negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, gabungan ini sememangnya berharap supaya kerajaan hari ini jatuh maka kes-kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka telah lakukan.

Katanya, permasalahan yang dihadapi hari ini bukanlah semata-mata berkaitan dengan tekanan kos hidup yang tinggi kerana ianya satu perkara yang sedang dan akan di tangani.

“Yang lebih menekan ialah wujud satu gerakan, pastinya di dalangi oleh mereka yang tewas di dalam pilihanraya dan agak ketakutan menghadapi proses undang-undang yang telah mula membelenggu mereka.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kerajaan diperlihatkan sebagai sebuah Kerajaan yang tidak peduli mengenai Islam dan Melayu. Kerajaan hari ini digambarkan sebagai akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.

“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja. Oleh sebab itu, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang ialah untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.

“Amatlah menghairankan bagaimana Pas dan Umno boleh bergabung dan bekerjasama. Semua tahu Umno selama ini telah dikafirkan oleh Pas dan pemimpin Pas terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Tambahnya lagi, kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke pilihanraya ke 14, orang Melayu yang percaya kepada Pas tidak akan mengundi Umno walaupun di kerusi yang Pas tidak bertanding.

Malah, katanya, orang Melayu lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS dan mana-mana parti pimpinan orang Islam ataupun tidak, asalkan bukan Umno.

“UMNO pula ditolak oleh rakyat pada pilihanraya ke 14 kerana mereka telah dipimpin oleh seorang kleptokrat dan bertanggungjawab membenar penjarahan secara besar-besaran dilakukan terhadap institusi-institusi Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya.

“Dengan itu, PH telah tampil ke hadapan dan bersama dengan rakyat dari semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan oleh Kerajaan Umno dan BN. Tapi apabila ini tercapai, hari ini Pas pula menyeru penyokongnya untuk bersama dengan Umno untuk mempertahankan Melayu dan Islam.

“Dimanakah mereka ketika pemimpin Umno mencuri dan menjarah harta Negara menerusi 1MDB, Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi Kerajaan seperti KWAP dan EPF?

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” ujarnya.