Malaysia Dateline

Cukup hanya tangguh masa bukan kecualikan pekerja di Singapura

Pengumuman kerajaan negeri Johor berkenaan pelepasan terhadap pekerja Singapura bercanggah dengan arahan kerajaan Persekutuan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak semalam.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan negeri harus memikirkan soal keselamatan 3.6 juta rakyat negeri itu bukannya hanya 300,000 orang sahaja.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan amat mengelirukan rakyat dan tidak selari dengan arahan dari Putrajaya.

“Memang satu idea yang tidak cerdik. Sepatutnya keutamaan adalah kepada keselamatan keseluruhan rakyat daripada jangkitan Covid-19 bukannya 300,000 yang berkerja di Singapura.

“Sepatutnya, Jawatankuasa Khas Malaysia-Singapura ditubuhkan lebih awal daripada pengumuman Perdana Menteri (16 Mac) tentang Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac 2020.

“Sepatutnya, Jawatankuasa Khas telah bermesyuarat dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan dengan kesan Perintah Kawalan kepada 300,000 pekerja Malaysia yang berkerja di Singapura.

“Malangnya, Jawatankuasa Kerja Khas Malaysia-Singapura hanya akan bermesyuarat hari ini sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Tiada penyelarasan yang baik antara negeri dan agensi kerajaan dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, Dzulkefly yang juga Adun Kota Iskandar berkata, tindakan kerajaan negeri dilihat tidak konsisten dan tidak memikirkan soal keselamatan rakyat teramai serta tahap kesihatan pekerja Malaysia di Singapura.

“Isu ini bukan suatu perkara yang boleh dipermainkan dan bagaimana rakyat nak mematuhi arahan sedangkan kerajaan negeri sendiri bertindak tidak selari dengan arahan peringkat Persekutuan.

“Agensi, jabatan dan kakitangan awam juga akan menjadi keliru dengan arahan yang bercanggah ini. Bagaimana mereka yang berkerja di sempadan negara, arahan siapa yang harus mereka ikut?

“Hal ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan. Jangan hanya membuat keputusan tanpa mengambil kira pelbagai permasalahan.

“Cukup sekadar memberi penangguhan masa kepada pekerja Malaysia di Singapura bukan dengan mengecualikan mereka,” tegasnya lagi.