Malaysia Dateline

Cukup setahun tempoh PH belajar selok belok pentadbiran

Sempena setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri Johor, Naib Pengerusi AMANAH Negeri Johor, Suhaizan Kaiat berkata tempoh masa setahun cukup untuk menjadi guru mengajar selok belok pentadbiran.

Beliau berkata, , dalam tempoh setahun ini negeri Johor antara negeri yang paling hangat bahang politiknya berbanding negeri yang lain. Oleh itu , sudah sampai masanya untuk PH Johor bersedia memperbaiki segala kelemahan dan berusaha lebih untuk rakyat negeri ini.

“Pelbagai isu yang berlaku di Johor ini antara yang paling hangat adalah isu MB Johor dan tragedi Sungai Kim Kim. Ini adalah pengalaman yang baik untuk dipelajari oleh kerajaan.

“Sudah tiba masanya kerajaan PH Johor mengambil langkah yang proaktif untuk berusaha memenangkan rakyat dengan segala kekuatan yang ada.

“Sebelum ini pun kerajaan PH Johor telah berjaya mengotakan 10 janji kerajaan PH dalam tempoh 100 janji di negeri ini dan fokus yang lebih utama hari ini adalah memacu terus negeri ini.

“Hentikan sebarang pertikaian perbezaan pendapat dan perlulah mencari titik persamaan dalam menguruskan negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi..

Suhaizan yang juga Setiausaha Organisasi AMANAH  ketika dihubungi berkata juga berharap agenda memartabatkan rakyat di negeri ini perlulah tersusun agar tidak melanggar sensitiviti rakyat.

Selain itu ujarnya lagi, sebarang permasalahan boleh diselesaikan di meja rundingan dan ianya tidak perlu dihebahkan secara terang kepada media sehingga mengelirukan rakyat.

“Sebelum PRU yang lalu, rakyat melihat kesatuan di antara parti komponen PH yang membuatkan mereka yakin kepada menukar kerajaan dari BN sebelum ini.

“Namun hari ini perkara itu mula menggugatkan pemikiran rakyat apabila melihat PH seperti tidak bersatu dalam setiap hal.

“Isu sensitif yang berkaitan agama, bangsa dan raja-raja perlu dihentikan segera agar tidak mendatangkan masalah kepada pentadbiran di negeri ini,” ujarnya lagi.