Malaysia Dateline

Cukuplah dok persalah semuanya kerana DAP, berilah fakta

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal yang telah disiarkan oleh portal berita berbahasa Inggeris yang menyalahkan DAP di atas penarikan diri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari gabungan Pakatan Harapan yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan.

Saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan kerana seolah-olah hanya meletakkan segala kesalahan terhadap DAP.

Beliau perlu ingat akan pengorbanan DAP terhadap rakan parti dalam gabungan pasca PRU14.

Merujuk kepada artikel oleh Mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong menyatakan bagi menjaga hati rakan parti dalam gabungan, DAP dengan rela memberi laluan kepada PPBM bagi meletakkan calon Menteri Besar Johor dari parti mereka.

DAP memenangi kerusi paling banyak dalam gabungan Pakatan Harapan di Johor sekaligus memberi peluang kepada DAP untuk meletakkan calon Menteri Besar dari Parti DAP.

Ideologi DAP

Dalam kenyataan yang diberikan oleh Wan Fayhsal juga, beliau memberitahu bahawa beliau tidak selesa dengan ideologi yang diperjuangkan oleh DAP.

Beliau perlu memberikan gambaran jelas mengapa perlunya beliau tidak selesa dengan ideologi DAP.

Beliau perlu menjelaskan apakah ‘painful experience with DAP’ seperti yang telah dinyatakan oleh beliau. Kerana dilihat kenyataan tersebut seperti tiada asas sama sekali.

Perlu diingatkan juga bahawa kebanyakan sentimen perkauman yang sering timbul ketika pemerintahan Pakatan Harapan adalah datang daripada pihak pembangkang.

Sekali lagi saya ingin selitkan petikan dari artikel oleh Liew Chin Tong:

“In four years between 2016 and 2020, each time you (Tan Sri Muhyiddin Yassin) asked DAP for help, we never failed you, we did everything possible to assist you. Playing the anti-DAP card to justify the existence of the Perikatan Nasional coalition would only make you seem hypocritical.”

Saya rasa petikan artikel ini amat sesuai bagi dikaitkan dengan beliau.

Saya tiada masalah terhadap beliau tapi kenyataan beliau sejak kebelakangan ini mengenai DAP perlulah dengan fakta yang jelas.

Beliau juga tidak perlu untuk menggunakan sentimen anti-DAP kerana memungkinkan untuk memakan diri beliau sendiri.

Rakyat juga tidak lupa dengan ciapan pada laman media sosial Twitter beliau yang bertarikh pada 29 Februari 2020 yang berkemungkinan besar telah dihapuskan.

Beliau telah menyatakan hasrat memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Tun Mahathir dan juga YB Syed Saddiq sebelum beralih arah menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Akhir kata, saya ingin menekankan bahawa pentingnya kita untuk memeriksa semula fakta dan tidak memainkan sentimen yang boleh menjatuhkan diri sendiri.


Penulis adalah pembaca Malaysia Dateline.