Cukuplah sandiwara elok utamakan kebajikan pekerja, kata MP Taiping

Cukuplah sandiwara elok utamakan kebajikan pekerja, kata MP Taiping

Ngar Kor MingMenteri Besar Perak dinasihati mementingkan kebajikan pekerja kerajaan, bukan menyamar menjadi pekerja buang sampah, bidas Ahli Parlimen Taiping Ngar Kor Ming.

Beliau berkata sepatutnya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengutamakan kebajikan kakitangan kerajaan negeri khususnya pekerja bawahan, bukannya menyamar sebagai pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Buang sampah tapi bawa juru kamera demi mencari publisiti murahan.

“Dibawah pemerintahan Zambry selama 8 tahun, negeri Perak kini telah merosot menjadi negeri kedua paling miskin di seluruh negara, lebih 21% rakyat negeri ini berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan, malahan negeri Perak mempunyai jumlah keluarga miskin yang paling ramai di seluruh negara.

“Mengikut laporan Jabatan Perdana Menteri, 120,000 buah isi keluarga di Perak mempunyai pendapatan kurang dari RM2,300.00, jumlah bilangan ini adalah jumlah yang paling ramai diseluruh Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Pengerusi DAP Perak ini berkata, Zamry sebagai Ketua Kerajaan Negeri, wajib memikul tanggungjawab menjaga dan membela kebajikan penjawat awam khususnya pekerja bawahan yang berpendapatan rendah seperti pekerja tukang sapu yang kini terhimpit dengan kenaikan harga pelbagai barang keperluan dan cukai GST.

“Tindakan Menteri Besar menyamar sebagai pembuang sampah menunjukkan beliau sudah hilang fokus dan tidak peduli kebajikan rakyat sebaliknya hanya ghairah untuk mencari publisiti murahan.

“Zambry disaran untuk memberhentikan sandiwaranya yang kini menjadi bahan ketawa dikalangan rakyat.

“Sebagai Menteri Besar, beliau harus mengikut teladan baik kerajaan Pulau Pinang & Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

“Kedua-dua kerajaan negeri ini berjaya mentadbir kerajaan negeri dengan baik dan secara berhemah sehingga memberi bonus rekod 1.5 bulan dan 2 bulan kepada penjawat awam negeri itu manakala kakitangan awam di negeri Perak hanya menerima sedekah sekadar RM500.00 sahaja.

“Selain itu, Pulau Pinang dan Selangor juga mengecualikan bayaran cukai pintu untuk rumah kediaman di kampung tradisi Melayu, kampung Baru, rumah kos rendah serta rumah pangsa,” terangnya.

Justeru katanya lagi, Pakatan Harapan menuntut supaya Zambry kemukakan langkah-langkah kerajaan untuk menambah pendapatan kakitangan awam khususnya pekerja bawahan di negeri ini.

“Cukuplah dengan sandiwara dan wayang kulit yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.” ujarnya.

TAGS