Curi pakaian untuk dipakai ke tempat kerja pertama

Curi pakaian untuk dipakai ke tempat kerja pertama

Apabila seseorang pertama kali mendapat kerja, kebiasaannya ia diraikan bersama rakan dan keluarga tetapi tidak bagi Fariduddin Nasir yang dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM600 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Mohd Rehan Mohd Aris selepas Fariduddin, 24, mengaku bersalah mencuri dua pasang baju dan dua pasang seluar bernilai RM359.50.

Kesalahan itu dilakukan di Brands Outlet Sunway Putra Mall, Dang Wangi, di sini pada 2.20 petang, 12 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Rehan memerintahkan Fariduddin menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap, iaitu 12 Julai, dan menjalani hukuman penjara sebulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Sebelum itu, semasa rayuan, Fariduddin, yang tidak diwakili peguam, berkata dia mendapat kerja baru-baru ini dan tidak mempunyai pakaian sesuai yang mencukupi untuk dipakai ke tempat kerja.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Nur Farah Adilah Noordin.