Malaysia Dateline

Cuti barisan hadapan sukar lulus tapi timbalan menteri dapat hingga 55 hari

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan rasa simpati terhadap barisan hadapan yang sukar mendapat kelulusan cuti ketika musim pandemik ini.

Beliau menganggap amat luar biasa apabila permohonan cuti Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar selama 55 hari untuk melawat isteri dan anak-anak di New Zealand diluluskan.

“Rakyat memang pelik bagaimana permohonan cuti panjang 55 hari untuk seorang Timbalan Menteri boleh lulus?

“Amat luar biasa kerana alasannya ialah untuk bersama keluarga yang duduk di luar negara.

“Kesian barisan hadapan yang permohonan cuti mereka tidak lulus. Habis tinggi mereka pohon dua, tiga hari sahaja untuk melawat anak dan isteri di luar daerah,” katanya sebentar tadi.

Santhara mengundang kejutan dan rasa tidak puas hati rakyat apabila dapat bercuti selama 55 hari untuk ke New Zealand ketika negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) dan darurat sehingga 1 Ogos ini.

Selepas tular borang permohonan cutinya di media sosial berserta kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dia menyatakan permohonan itu dibuat tahun lalu.

Dia yang bukan dari kalangan pribumi pertama yang menjadi ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, permohonan cuti itu mengikut kelayakan Cuti Rehat seperti ditetapkan dalam peraturan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri, selain kelayakan Cuti Tanpa Gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan Cuti Rehat.

Setahun tidak berjumpa

Selain bertemu dengan dengan anak yang berusia sembilan tahun, Santhara juga mahu melawat anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang serta menziarahi isteri yang mengalami masalah kesihatan.

Bekas pemimpin PKR berkenaan turut memaklumkan hampir setahun tidak berjumpa isteri dan anak-anaknya.

Mengulas lanjut, Puad membidas alasan Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat itu bahawa permohonan cuti panjang itu kerana mahu menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

“Apakah rakyat biasa yang dilarang melakukan rentas daerah atau negeri untuk melawat keluarga mereka dianggap ibu bapa tidak bertanggungjawab? Mereka bukan mohon rentas negara,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu juga mengingatkan sebagai seorang wakil rakyat perlu kerap berada di kawasan.

“Apatah lagi pada musim pandemik dan musim banjir. Segamat pun tidak kurang terkesan. Cuti dua minggu tidak cukupkah?” soalnya.

Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat mengimbas kembali era pentadbiran kerajaan BN apabila cuti menteri dan timbalan menteri dibekukan pada musim banjir.

“Najib batalkan percutiannya dan terus ke Kelantan yang dilanda banjir besar tahun 2014.

“Apakah jawatan Timbalan Menteri Wilayah tidak penting? Makin berleluasa amalan dua darjat di negara kita,” tegas Puad lagi.