Malaysia Dateline

Dadah, LTTE dan penyeludupan di sempadan isu tumpuan 2019

Kumpulan pengganas LTTE, masalah dadah yang berterusan dan penyeludupan di kawasan sempadan negara adalah antara isu jenayah yang menjadi tumpuan sepanjang 2019.

Selain itu, turut mendapat perhatian tahun ini ialah pelantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang telah bersara, sebagai ketua polis negara secara kontrak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei.

Abdul Hamid pada 21 Ogos mendedahkan penglibatan anggota dan pegawai polis dalam jenayah dadah, yang membawa kepada pelaksanaan Op Blue Devil bagi memperlihatkan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memulihkan imej pasukan keselamatan.

Berdasarkan statistik PDRM setakat 14 Nov, sebanyak 211 anggota polis ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara.

Pada 10 Sept, PDRM menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang, rampasan terbesar dadah di negara ini.

Dalam tempoh Januari hingga November, polis berjaya membongkar 19 makmal memproses dadah di seluruh negara dan kebanyakan lokasi makmal yang dilumpuhkan terletak di kawasan luar bandar.

PDRM turut melancarkan Op Damn Tokan pada September dan statistik menunjukkan 456 individu ditahan kerana menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di seluruh negara.

Dalam pada itu, satu program dinamakan ‘Nurture for Betterment’ turut diperkenalkan PDRM bagi membantu pesalah dadah yang dikenakan sekatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Isu keganasan turut mendapat perhatian tahun ini apabila 12 orang termasuk dua wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan, 34, dan ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaran ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pertubuhan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).

Pada 10 dan 13 Okt, PDRM menerusi Bahagian Counter Terorrism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman menahan 12 individu kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terorrism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pichay berkata dua ADUN terbabit ditahan selepas disyaki menghadiri program memperingati Hari Perwira LTTE pada November tahun lepas di Melaka.

Mereka ditahan di sekitar Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE dan sebutan semula kes itu pada tarikh-tarikh yang ditetapkan pada Disember ini.

Jenayah rentas sempadan membabitkan kes-kes penyeludupan turut menggemparkan negara apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan video-video kegiatan penyeludupan di sempadan negara pada 18 Okt lepas.

SPRM turut mendakwa memiliki ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017 juga dilihat mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Serentak pendedahan itu, sebanyak 14 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan penyeludupan rentas sempadan di kawasan Padang Besar, Perlis telah diambil tindakan.

Statistik PDRM mengenai hasil penyeludupan juga sesuatu yang tidak boleh diambil mudah apabila dilaporkan setiap hari, antara 200 dan 300 kilogram barang seludup, antaranya daun ketum dan rokok dirampas polis Perlis dalam operasi di kawasan sempadan utara negara sejak 3 Sept lepas.

Mengikut rekod Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, rampasan daun ketum meningkat 51.1 peratus iaitu sebanyak 81,851.54 kilogram bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 40,037.3 kilogram bagi tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, sebanyak 1,968,654 liter minuman keras pelbagai jenama dan 10.32 juta batang rokok yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM12.41 juta yang diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai, dilupuskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia 8 Nov lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata kedua-dua barangan itu telah dirampas dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor, masing-masing pada April dan November lepas, membabitkan nilai cukai RM61.87 juta.