Malaysia Dateline

Daerah Kuching diisytiharkan Zon Merah

Daerah Kuching telah diisytiharkan sebagai Zon Merah berikutan penularan COVID-19 yang semakin meningkat semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebanyak 25 kes baharu telah direkodkan iaitu melibatkan 21 kes di Kuching, dua kes di Serian, satu kes masing-masing di Samarahan dan Lundu.

Kata JPBN, dengan jumlah terbabit telah menjadikan Kuching sebagai berstatus Zon Merah manakala Daerah Serian dan Lundu bertukar kepada status kuning.

Jelas JPBN lagi, terdapat empat kes baharu telah dilaporkan iaitu melibatkan pelawat yang datang atau baru balik dari luar negara.

“Kes pertama dan kedua adalah sepasang suami isteri bukan warganegara yang baru balik dari United Kingdom pada 23 Julai dan tiba di Kuching pada 25 Julai.

“Manakala, kes ke-3, merupakan seorang pelajar perempuan warganegara tempatan yang balik dari Korea Selatan pada 11 Julai ke Kuala Lumpur dan balik ke Kuching pada 25 Julai lalu.

“Bagi kes ke-4 pula ialah seorang lelaki warganegara tempatan yang bekerja di Amerika Selatan dan telah sampai di Kuala Lumpur pada 25 Julai lepas dan saringan rT-PCR kes pada hari kedua semasa berada dalam kuarantin hotel di Kuching pada 26 Julai didapati positif COVID-19,” ujar JPBN.

Kenyataan JPBN menambah, keempat-empat kes berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala sebelum ini.

Pada masa sama, JPBN menegaskan saringan rawak di pintu masuk antarabangsa turut merekodkan satu kes yang melibatkan seorang lelaki warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan balik dari Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

“Kes telah dipilih secara rawak bagi menjalani saringan pada hari ke-10 pada 25 Julai dan beliau didapati positif COVID-19 pada 27 Julai.

“Kes ini juga mempunyai sejarah perjalanan melawat Miri dan Sibu pada 29 Jun dan 24 Julai lepas.

“Turut dicatatkan ialah satu kes melibatkan seorang petugas kesihatan di sebuah fasiliti di Lundu bagi kes saringan rawak Petugas Kesihatan.

“Sampel swab untuk ujian rT-PCR telah diambil pada 27 Julai dan didapati positif COVID-19 pada hari sama yang mana punca jangkitan masih dalam siasatan dan pengesanan kontak kes ini masih dijalankan,” kata JPBN.

Sementara itu, bagi kes kluster pula, JPBN memaklumkan sebanyak 18 kes baharu untuk kluster yang masih yang aktif iaitu sembilan kes Kluster Sentosa, empat kes Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, satu kes Kluster PUI Melbourne dengan empat kes baharu untuk kluster baru iaitu Kluster Pasar Satok Kuching.