Daesh: Kerajaan Kelantan bagi kerjasama kepada polis

Daesh: Kerajaan Kelantan bagi kerjasama kepada polis

Kerajaan Kelantan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terutama polis dalam mengekang kegiatan kumpulan militan termasuk Daesh di negeri ini.

Kerajaan negeri juga mengambil langkah menyekat anggota terbabit daripada memasuki Kelantan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Saidatina Khadijah 2016 di sini, hari ini..

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak melibatkan diri termasuk melindungi suspek yang disyaki terbabit dengan kegiatan militan.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengenai sembilan suspek terbabit dengan militan Daesh ditahan dalam operasi antara 20 Julai hingga 9 Ogos lepas di Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Kelantan.

Dua daripadanya adalah suspek yang dikehendaki bagi kes letupan bom di sebuah premis hiburan di Puchong, Kuala Lumpur, yang ditahan dengan bantuan Platun Tiger, Batalion 8, Pasukan Gerakan Am di Kuala Krai pada 9 Ogos.

Ahmad berkata perbuatan melindungi suspek militan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Sepatutnya tiada pihak yang melindungi suspek,” katanya sambil menjelaskan dalam perjuangan jihad, pembunuhan sewenang-wenangnya dikutuk oleh Islam.

“Konsep jihad amat luas…sepatutnya berjihad terhadap ekonomi serta pendidikan. Kita tidak sepatutnya terpedaya dengan golongan tertentu (militan),” katanya.